BINTANG bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo berjanji untuk kekal bersama Arab Saudi musim depan pada Khamis walaupun gagal meraih sebarang trofi sejak berpindah ke negara yang kaya dengan minyak itu.
Perjanjian Ronaldo pada Januari dengan Al Nassr disusuli dengan spekulasi berapa lama beliau akan kekal, termasuk laporan mengenai perjanjian pertukaran dengan Newcastle United milik Arab Saudi yang kini layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Bagaimanapun, pemain berusia 38 tahun itu berkata dalam wawancara rasmi Liga Pro Saudi: “Saya gembira di sini, saya mahu terus berada di sini, saya akan kekal di sini.
“Dan pada pendapat saya jika mereka terus melakukan kerja yang mereka mahu lakukan di sini, untuk lima tahun akan datang, saya fikir liga Saudi boleh menjadi lima liga terbaik di dunia.”
Kejayaan Ronaldo menjaringkan 14 gol dalam 16 penampilan liga hanya mencukupi untuk menamatkan saingan di tempat kedua bagi kelab Riyadh itu, kegemaran beberapa kerabat diraja Arab Saudi.
Pada Januari, bekas pemain Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu menandatangani perjanjian selama dua setengah tahun yang dikatakan bernilai lebih 400 juta euro.
Beliau mengakui beberapa konvensyen Arab Saudi mengejutkannya, termasuk sesi latihan larut malam pada bulan puasa Ramadan.
“Di Eropah kami berlatih lebih pada waktu pagi, tetapi di sini kami berlatih pada sebelah petang, atau malam dan pada Ramadan kami berlatih pada pukul 10 malam,” katanya.
“Jadi ini sangat janggal, tetapi seperti yang saya beritahu anda situasi ini adalah sebahagian daripada pengalaman, kenangan. Saya suka mengharungi detik-detik ini kerana anda belajar dengan perkara ini.”
Beliau menambah: “Saya menjangkakan untuk memenangi sesuatu tahun ini, tetapi kami tidak berjaya, tetapi tahun depan saya benar-benar positif dan yakin keadaan akan berubah.” – AFP, 2 Jun 2023.
Komen