KEBAKARAN memusnahkan lebih 2.7 juta hektar hutan di Kanada setakat tahun ini, lapan kali lebih banyak daripada purata tiga dekad yang lalu, kata pegawai pada Khamis, ketika lebih 200 kebakaran masih aktif.
Selepas kebakaran besar di barat negara itu pada Mei, terutamanya di wilayah Prairies Alberta dan Saskatchewan, usaha memadam kebakaran besar-besaran beralih minggu lalu ke Nova Scotia di pantai Atlantik.
“Keadaan ini pada awal musim tidak pernah berlaku sebelum ini dan sudah tentu ia amat membimbangkan semua warga Kanada,” kata Menteri Kesiapsiagaan Kecemasan Bill Blair pada sidang akhbar.
Pada masa ini terdapat 211 kebakaran hutan yang marak di seluruh negara, termasuk 82 yang terbakar di luar kawalan, katanya.
Kedatangan gelombang haba yang melampau dan tiupan angin kencang di timur berisiko menyebabkan kebakaran besar, menurut anggota bomba.
Di Nova Scotia, terdapat 16 kebakaran aktif pada Khamis. Satu mengancam pinggir barat laut bandar utama wilayah Halifax dan memaksa pemindahan lebih 16,000 penduduk tempatan. Bagaimanapun, sebahagiannya kini nampak terkawal.
Tetapi satu lagi kebakaran berhampiran Tasik Barrington terus memberi cabaran kepada kru bomba selepas memusnahkan lebih 20,000 hektar hutan. Ia merupakan kebakaran terbesar pernah direkodkan di wilayah itu.
Lebih 2,000 penduduk kawasan yang berada di laluan kebakaran yang bergerak pantas itu terpaksa menyelamatkan diri awal minggu ini.
“Kita masih belum keluar daripada bahaya. Kami masih berhadapan dengan situasi yang sangat berbahaya dan tidak menentu,” kata pegawai sumber asli tempatan David Steeves.
“Kami memerlukan alam semula jadi untuk berpihak kepada kami dalam hal ini,” tambahnya.
Asap daripada kebakaran meliputi sebahagian besar wilayah itu dan bertiup ke pantai Atlantik, mendorong amaran kualiti udara bagi negeri New Jersey AS dan sebahagian Pennsylvania, termasuk kawasan Philadelphia.
Di Kanada Barat, lebih 60 kebakaran masih menyala di Alberta yang kaya dengan minyak—kira-kira separuh daripada jumlah kebakaran pada awal Mei yang mencetuskan darurat—dan kira-kira 20 di wilayah jiran Saskatchewan.
Kanada mengalami peristiwa cuaca ekstrem dalam beberapa tahun kebelakangan susulan kepanasan dan kekerapan yang meningkat akibat pemanasan global. – AFP, 2 Jun 2023.
Komen