SYARIKAT pertanian organik berasaskan sistem hidroponik di Qatar, Agrico Agriculture Development WLL (Agrico Qatar) berhasrat untuk mendapatkan bekalan minyak sawit mentah bagi kilang penapisan minyak kelapa sawit milik Agrico di Malaysia.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang disuarakan ketika menerima kunjungan hormat pengerusi Agrico Qatar Ahmed Hussain Al-Khalaf di pejabatnya hari ini.
“Insya-Allah, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dan kerajaan negeri Selangor sedang menyelaraskannya. Produk ini seterusnya akan menjadi produk berkualiti tinggi yang berpotensi dieksport ke Qatar, Tanzania, Afghanistan, India dan negara di rantau Timur Tengah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Turut hadir pada sesi kunjungan hormat itu, Duta Qatar ke Malaysia Salah Mohammed Al-Sorour serta wakil Miti dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).
Beliau berkata, kerajaan Malaysia akan terus memperkukuhkan jaringan perniagaan-ke-perniagaan antara Malaysia dan Qatar serta mengalu-alukan syarikat dari Qatar untuk meneroka pelbagai peluang perdagangan dan pelaburan di negara ini.
Perdana menteri berkata, Agrico Qatar merupakan satu-satunya syarikat pertanian organik berasaskan sistem hidroponik di Qatar yang mengguna pakai teknologi terkini secara mampan.
Melalui kaedah itu, katanya Agrico berjaya menghasilkan kira-kira 3,000 tan metrik sayur-sayuran dan buah-buahan berkualiti sepanjang tahun, memenuhi sekurang-kurangnya 90% permintaan pasaran tempatan Qatar.
Anwar berkata pada 2023, Agrico Qatar melalui Agrico (M) Sdn Bhd menyasarkan untuk melaksanakan projek dalam tiga sektor iaitu penapisan minyak sawit, pertanian dan keselamatan makanan, dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion hingga RM2 bilion.
Katanya ia selari dengan Wawasan 2030 Qatar dan pelan tindakan dasar keterjaminan makanan negara 2021-2025, Malaysia menyambut baik usaha pihak swasta dalam menyokong agenda kerajaan ke arah menjamin keselamatan makanan serta memantapkan lagi rantaian bekalan makanan bagi kedua-dua negara. – Bernama, 1 Jun, 2023.
Komen