MCA mahu UEC diiktiraf dalam manifesto BN


Liow Sze Xian

Naib Presiden MCA Wee Ka Siong berkata sudah berusaha agar sijil berkenaan diiktiraf dan dijadikan sebahagian daripada dasar BN.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2018.

MCA mahu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan bagi peperiksaan di bawah sistem sekolah persendirian Cina dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum ke-14, kata Wee Ka Siong.

Naib Presiden MCA itu berkata, partinya sudah berusaha agar sijil berkenaan diiktiraf dan dijadikan sebahagian daripada dasar BN.

“Kita (MCA) masukkannya dalam versi draf tetapi kita tidak pasti apakah ia dimasukkan dalam manifesto yang muktamad,” kata Wee kepada The Malaysian Insight.

Beliau menjelaskan sebelum BN memuktamadkan manifestonya, parti-parti komponen dalam gabungan pemerintah itu menyerahkan cadangan mereka yang kemudiannya disaring oleh sebuah jawatankuasa.

Menurut Wee, walaupun manifesto Pakatan Harapan turut berjanji akan mengiktiraf UEC, manifesto BN berbeza kerana ia bukan janji kosong.

“Kita parti pemerintah dan kita masukkan (dalam manifesto) apa yang betul-betul boleh dilaksanakan,” katanya.

Dalam manifestonya yang dinamakan Buku Harapan, PH berjanji akan mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan masuk ke universiti awam dengan syarakat pemohon lulus kepujian dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

UEC mula diperkenalkan pada 1975. Ia diterima sebagai syarat kelayakan masuk ke banyak universiti di luar negara namun tidak diperakui di Malaysia.

Pertubuhan dan badan Melayu sebelum ini membantah usaha kerajaan mahu mengiktiraf UEC dengan alasan ia bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan. Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

UEC kini diperakui oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh PH, serta diiktiraf juga di Sarawak bagi pengambilan kerja oleh kerajaan negeri dan syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan negeri.

UEC juga sejak 2010 diterima untuk kemasukan ke program ijazah sarjana muda pendidikan (Bahasa Cina) di institusi pendidikan guru di bawah Kementerian Pendidikan.– 23 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • apa nk buat?roket dtg menyerang,kalu x lari nt binasa badan

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • MCA patut berfikir panjang dan matang. Mereka juga perlu beri jaminan undi kaum Cina akan berpihak kepada BN apabila beberapa pemintaan mereka termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu dipenuhi oleh PM dan pemimpin tertinggi BN.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan