Yayasan perlu tingkat dana melalui pelaburan, perniagaan, kata PM


Anwar Ibrahim berkata sejumlah dana yang ada dalam yayasan wajar digunakan untuk melaksanakan pelaburan bijak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata yayasan di negara ini tidak harus bergantung kepada sumbangan derma sahaja tetapi perlu meningkatkan keupayaan dana melalui pelaburan dan perniagaan.

Berucap melancarkan Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di Putrajaya hari ini, beliau yang juga menteri kewangan berkata, sejumlah dana yang ada dalam yayasan wajar digunakan untuk melaksanakan pelaburan bijak.

Bagi tujuan itu juga katanya, yayasan perlu terbuka dengan mengambil penyertaan kepakaran luar yang sedia memberi sumbangan tenaga, kemahiran dan idea untuk yayasan dalam kegiatan perniagaan yang memberi pulangan baik.

“Setiap jawatankuasa pengurusan, pelaburan dan pendidikan (yayasan) harus menimba pengalaman dan kepakaran serta kemahiran beberapa anggota profesional supaya tahap pengurusan dan keputusan pelaburan dapat dipertahankan,” katanya.

Bagi meningkatkan keyakinan penyumbang terhadap YWP, Anwar mahu yayasan itu menyediakan laporan berkaitan penyaluran sumbangan serta maklumat penerima kepada penderma.

“YWP akan memulakan tradisi baharu iaitu siapa yang menderma akan dapat laporan daripada pihak pengurusan tentang penyaluran wang yang diderma diguna untuk apa. Ini penting dan saya harap ini diikuti oleh yayasan dan badan amal yang lain,” katanya.

Beliau berkata kaedah itu bukan sekadar memberi keyakinan kepada penyumbang malah menggambarkan gerak kerja serius YWP dalam menguruskan penyaluran sumbangan kepada golongan memerlukan.

Beliau berharap kaedah itu dilaksanakan dalam masa terdekat bagi membolehkan YWP muncul sebagai yayasan yang mempunyai kaedah pengurusan sumbangan yang telus.

Turut hadir isteri perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengarah Eksekutif YWP Abdul Rahman Siraj. – Bernama, 1 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen