Polis tahan pelajar Tingkatan 1 pandu kereta


POLIS menahan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun selepas videonya memandu kereta di Jalan Rozhan, Machang Bubok di Seberang Perai, Pulau Pinang semalam tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Tan Cheng San berkata, remaja itu ditahan di rumahnya di Taman Machang Bubok kira-kira jam 8 malam tadi susulan tular video berdurasi 32 saat.

“Polis mengesan satu video memaparkan seorang remaja lelaki memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback bersama beberapa rakannya pada jam 3 petang semalam. Susulan itu, polis menjalankan risikan dan berjaya menahan pelajar Tingkatan 1 berkenaan.

“Polis turut menahan ibu remaja itu yang berusia lewat 40-an dan menyita kereta bagi siasatan lanjut. Polis juga sedang mengesan beberapa lagi rakan remaja berkenaan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tan, wanita dan anak lelakinya itu dibebaskan selepas keterangan mereka direkodkan.

Beliau berkata, remaja lelaki itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu tanpa lesen dan Seksyen 39 (1) akta sama kerana memandu kenderaan motor di bawah umur.

Katanya pemilik kereta iaitu ibu remaja berkenaan turut disaman mengikut Seksyen 39 (5) APJ 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu atau menunggang kenderaan bermotor. – Bernama, 1 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen