Taiwan, AS meterai perjanjian dagangan dua hala


Taiwan dan AS sedia menandatangani perjanjian awal di bawah Inisiatif AS-Taiwan mengenai perdagangan abad ke-21. – Gambar Twitter, 1 Jun, 2023.

TAIWAN dan Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk menandatangani perjanjian awal di bawah Inisiatif AS-Taiwan mengenai perdagangan abad ke-21, kata Pejabat Rundingan Perdagangan di Taipei pada Khamis, lapor agensi berita pusat (CNA).

Perjanjian itu yang secara rasmi dipanggil “Perjanjian Pertama,” akan berlangsung di Washington pada jam 10 malam Khamis, genap setahun selepas inisiatif perdagangan itu dilancarkan.

Menurut pejabat perwakilan perdagangan AS, perjanjian itu akan ditandatangani oleh utusan Taiwan ke AS, Hsiao Bi-khim dan Ingrid D Larson, pengarah urusan American Institute di ibu pejabat Taiwan di Washington disaksikan oleh perunding perdagangan terkemuka Taiwan, John Deng dan timbalan wakil perdagangan AS, Sarah Bianchi.

Sepanjang tahun lalu, perunding perdagangan kedua-dua pihak menjalankan dua pusingan rundingan untuk memuktamadkan perjanjian awal yang meliputi kastam dan kemudahan perdagangan, amalan kawal selia, kawal selia perkhidmatan domestik, amalan antirasuah dan perusahaan kecil dan sederhana.

Menurut pejabat perdagangan Taiwan, kedua-dua pihak komited untuk mempermudah aliran perdagangan dua hala dan pelaburan, menambah baik amalan kawal selia, menggalakkan langkah pencegahan rasuah dan meminimumkan formaliti sempadan yang tidak perlu.

Namun perjanjian pertama itu tidak meliputi pengurangan atau pengecualian tarif tetapi sebaliknya menggariskan amalan dan prosedur yang bertujuan untuk memperkemas dan mengukuhkan hubungan perdagangan.

Menurut pejabat itu, perjanjian pertama diharap akan diperluas selepas rundingan lanjut untuk memasukkan topik lain yang dimandatkan dalam inisiatif itu seperti pertanian, piawaian, perdagangan digital, buruh, alam sekitar, perusahaan milik negara dan dasar serta amalan bukan pasaran.

Pejabat itu belum mengumumkan tarikh rundingan selanjutnya. – Bernama, 1 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen