Warga emas maut dilanggar pemandu positif dadah


SEORANG warga emas maut akibat dirempuh dan diseret sejauh 7.3 meter oleh sebuah kenderaaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandu lelaki positif dadah di Jalan Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang, Kelantan semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.10 pagi ketika mangsa M Noor Awang, 67, sedang menunggang motosikal Yamaha Lagenda.

Beliau berkata ketika kejadian, pemandu kenderaan 4WD berusia 42 tahun itu dalam perjalanan dari arah Kampung Jeram Tekoh menuju ke Kampung Baru Jeram Tekoh.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu berkenaan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Kejadian menyebabkan mangsa diseret sejauh 7.3m sehingga 4WD terbabit berhenti ketika merempuh sebuah rumah di sebelah kanan jalan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sik berkata M Noor kemudian dibawa ke klinik kesihatan Jeram Tekoh untuk rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 11.50 pagi akibat kehilangan darah yang banyak.

“Susulan itu, polis menahan pemandu kenderaan 4WD itu. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa berada di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian. – Bernama, 1 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen