PRESIDEN Emmerson Mnangagwa mengumumkan 23 Ogos depan sebagai tarikh Zimbabwe akan mengadakan pilihan raya umum.
Menurut notis warta kerajaan, beliau juga menetapkan 21 Jun yang akan datang sebagai tarikh di mana mahkamah pencalonan akan duduk di seluruh negara untuk menerima permohonan daripada parti politik dan calon mereka untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.
Mnangagwa juga mengumumkan 2 Oktober, 2023 sebagai tarikh di mana pilihan raya presiden peringkat kedua akan diadakan, sekiranya diperlukan.
Beliau sepatutnya mengumumkan tarikh pilihan raya dan pencalonan mahkamah pada Isnin, tetapi menangguh pengumuman itu ke Rabu.
Parti pemerintah Zanu-PF dan parti pembangkang Citizens Coalition for Change (CCC) akan menjadi pesaing utama dalam pilihan raya ini, tetapi beberapa parti politik kecil juga dijangka mengambil bahagian.
Pengumuman tarikh pilihan raya secara rasmi memulakan musim kempen, yang selama ini kurang hangat untuk semua parti.
Pilihan raya ini akan melibatkan pemilihan presiden negara, wakil parlimen, dan wakil kerajaan tempatan secara serentak.
Pengumuman presiden pada hari Rabu dibuat berikutan penyiapan dan pewartaan sempadan pilihan raya kawasan baharu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Zimbabwe (ZEC), yang akan digunakan dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Berbeza dengan tempoh persediaan pilihan raya sebelum ini, sausana politik di negara itu adalah tenteram dan tidak ada laporan tentang keganasan berkaitan dengan pilihan raya.
Dalam pilihan raya terakhir pada 2018, Zanu-PF menang besar manakala Mnangagwa juga mengalahkan lebih 20 pencabarnya dengan selesa.
Dalam pilihan raya kali ini Zanu-PF akan menonjolkan reformasi ekonomi yang dilaksanakannya yang telah menstabilkan ekonomi yang sebelum ini merudum dan kini menjadi asas baharu untuk pertumbuhan dalam tahun mendatang.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Zimbabwe memanggil diplomat utama Amerika Syarikat (AS) di Harare berhubung dengan apa yang dianggap sebagai campur tangan kedutaan itu dalam pilihan raya Ogos itu.
Elaine French, Kuasa Usaha kedutaan AS dipanggil kementerian berkenaan dengan kiriman media sosial di mana misi diplomatik itu menggesa rakyat Zimbabwe untuk mendaftar secara beramai-ramai untuk mengundi dan menyuarakan pendapat mereka dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Rofina Chikava, seorang pegawai kanan dalam kementerian itu, memberitahu French kerajaan menganggap kiriman media sosial kedutaan AS sebagai campur tangan dalam pilihan raya dan menuntut agar tindakan itu dihentikan.
Campur tangan AS dalam urusan dalaman Zimbabwe, terutamanya proses pilihan raya, bukanlah perkara baru.
Negara itu membiayai parti pembangkang dan mengenakan sekatan terhadap negara tersebut dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan sebagai pembalasan atas pelaksanaan reformasi tanah. – Bernama, 1 Jun, 2023.
Komen