Pendaki Malaysia diselamatkan di kawasan beraltitud tinggi Everest


Nepal mengeluarkan 478 permit ke Everest dari tempoh Mac hingga Mei tahun ini. Sekurang-kurangnya 12 pendaki meninggal dunia, termasuk pendaki Malaysia. – Gambar AFP, 1 Jun, 2023.

PENDAKI Malaysia berterima kasih kepada seorang malim gunung warga Nepal yang menyelamatkannya daripada insiden hampir meragut nyawanya di Gunung Everest.

Menurut laporan Reuters, malim gunung berkenaan menarik pendaki terbabit turun dari bawah puncak Gunung Everest dalam misi menyelamat beraltitud tinggi yang sangat jarang berlaku.

Memetik kenyataan rasmi Nepal, malim gunung itu Gelje Sherpa, 30, mengiringi seorang pelanggannya, pendaki dari China ke puncak Everest dengan ketinggian 8,849 meter pada 18 Mei ketika beliau ternampak seorang pendaki Malaysia berpaut dengan tali.

Pendaki itu menggigil akibat cuaca sejuk yang ekstrem di kawasan dikenali sebagai “zon mati”, di mana suhu boleh menjunam kepada -30 darjah selsius atau lebih rendah lagi.

Selepas meyakinkan pelanggannya untuk tidak ke puncak, Gelje dan seorang lagi malim gunung Nima Tahi menarik pendaki itu sejauh 600 meter turun dari kawasan Balcony ke South Col dalam tempoh kira-kira enam jam.

“Kami menyelimutkan pendaki itu dengan ‘sleeping mat’ dan adakala menyeretnya di atas salji atau membawanya secara bergilir-gilir ke Kem III,” katanya.

Sebuah helikopter kemudiannya tiba untuk membawa mangsa dari Kem III setinggi 7,162 meter turun ke kem pangkalan.

“Hampir mustahil untuk menyelamatkan pendaki dengan ketinggian itu,” kata jurucakap Jabatan Pelancongan Bigyan Koirala dipetik berkata kepada Reuters.

Sementara itu, Geljie berkata beliau dapat meyakinkan pendaki yang dibawanya untuk tidak meneruskan perjalanan ke puncak kerana baginya, misi menyelamatkan mangsa adalah lebih penting.

“Menyelamatkan nyawa adalah lebih penting daripada segala-galanya,” katanya.

Pendaki Malaysia itu mendapatkan khidmat logistik daripada Tashi Lakhpa Sherpa dari syarikat Seven Summit Treks.

Nepal mengeluarkan 478 permit ke Everest dari tempoh Mac hingga Mei tahun ini.

Sekurang-kurangnya 12 pendaki meninggal dunia – jumlah tertinggi dalam tempoh lapan tahun, sementara lima lagi masih hilang di Everest.

Pada musim mendaki kali ini, pendaki Malaysia, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, turut meninggal dunia selepas jatuh ketika mendaki Gunung Everest.

Seorang lagi pendaki Malaysia, Muhammad Hawari Hashim masih hilang selepas terputus hubungan pada 18 Mei ketika turun dari Kem 4 selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu.

Operasi mencarinya masih berjalan.

Hawari adalah antara kumpulan pertama tiba di puncak Everest bersama Awang Askandar.

Dalam perkembangan lain, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia berkata seorang pendaki Malaysia, RJ Nagarajan yang tiba di puncak Gunung Everest pada 22 Mei sedang dirawat.

Hospital berkata Nagarajan tiba dengan selamat di tanah air menerusi penerbangan Malaysia Airlines pagi semalam dan sedang menjalani rawatan di hospital kerana mengalami kecederaan dan kini dalam keadaan stabil. – 1 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen