Menteri sukan Perancis kritik perlakuan Djokovic berhubung isu Kosovo


Bintang tenis Serbia Novak Djokovic dilapor menulis 'Kosovo adalah ibu kepada Serbia. Hentikan keganasan' pada lensa kamera televisyen selepas menang pusingan pertama di Paris pada Isnin. – Gambar AFP, 1 Jun 2023.

MENTERI Sukan Perancis Amelie Oudea-Castera mengkritik aksi di depan kamera Novak Djokovic yang disifatkannya sebagai ‘tidak wajar’ dan mengeluarkan amaran kepada bintang tenis Serbia itu, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Djokovic, yang memburu rekod gelaran juara perseorangan lelaki Grand Slam ke-23 pada Terbuka Perancis, menulis “Kosovo adalah ibu kepada Serbia. Hentikan keganasan” pada lensa kamera televisyen selepas menang pusingan pertama di Paris, pada Isnin.

Keganasan meletus di Kosovo pada hujung mingg selepas bantahan daripada etnik Serb ekoran pelantikan datuk bandar daripada etnik Albania. Ramai anggota pengaman yang didukung NATO dan etnik Serb cedera. Kosovo merdeka daripada Serbia pada 2008 dan meskipun masyarakat antarabangsa mengiktirafnya sebagai sebuah negara berdaulat, Serbia tidak berbuat demikian.

“Jika ia dilakukan bagi mempertahankan hak asasi manusia dan menyatukan rakyat berasaskan nilai sejagat, mana-mana ahli sukan dibenarkan melakukannya,” kata bekas pemain tenis profesional Oudea-Castera kepada televisyen France 2.

Bagaimanapun, beliau berkata mesej Djokovic jelas bersifat ‘militan, amat politik’ dan tidak harus diulang.

Pengarah Kejohanan, Amelie Mauresmo sudah pun bercakap mengenai perkara itu dengan Djokovic dan pasukannya, menjelaskan mengenai prinsip ‘berkecuali’,” kata menteri sukan itu.

Penganjur membiarkan perkara itu terbuka mengenai sama ada akan ada akibat konkrit terhadap Djokovic, seorang yang tinggi semangat kebangsaan dan beberapa kali menyuarakan pandangannya mengenai isu Kosovo.

Jawatankuasa Olimpik Kosovo dan badan tenis negara itu mendesak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi menuntut siasatan selain mengemukakan aduan terhadap badan pentadbir tenis ITF supaya mengenakan tindakan disiplin ke atas Djokovic. – Bernama, 1 Jun 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen