INDIVIDU yang merosakkan atau menggodam infrastruktur penting di Taiwan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda NT$10 juta (AS$325,200) di bawah peraturan baharu yang diluluskan oleh Legislative Yuan pada Selasa.
Sebanyak 22 undang-undang telah dipinda dan Kabinet telah menyerahkan pindaan itu kepada Badan Perundangan.
Peraturan baharu itu akan digunakan untuk sistem pengangkutan awam, perkhidmatan pos, hospital dan institusi kewangan, serta kemudahan telekomunikasi, utiliti, nuklear dan angkasa lepas.
Menurut Kabinet, pindaan itu dibuat susulan beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini, termasuk kerosakan yang berlaku terhadap dua kabel komunikasi dasar laut yang menghubungkan Taiwan dan Kepulauan Matsu pada Februari.
Selain itu, kabel elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan Taiwan dilaporkan telah dipotong oleh dua pekerja binaan pada Mac 2022, menyebabkan bekalan elektrik terputus di sebahagian daripada Terminal 2 lapangan terbang itu.
Jurucakap Kabinet Lin Tze-luen berkata peraturan baharu itu sebahagian daripada usaha untuk “menghalang aktiviti haram” yang bertujuan menjejaskan infrastruktur penting negara.
Mengikut pindaan itu, mereka yang didapati bersalah melakukan vandalisme, menggodam atau terlibat dalam aktiviti haram lain untuk menyebabkan sama ada kerosakan fizikal pada kemudahan penting atau menjejaskan sistem komputer, boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya satu hingga tujuh tahun, beserta denda sehingga NT$10 juta (AS$325,200).
Jika perbuatan vandalisme dan penggodaman itu didapati “membahayakan keselamatan negara”, mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan tiga hingga 10 tahun penjara dan denda tidak melebihi NT$50 juta.
Hukuman sekurang-kurangnya tujuh tahun penjara dan maksimum penjara seumur hidup serta denda sehingga NT$100 juta akan dikenakan jika perbuatan itu menyebabkan kematian. – Bernama, 1 Jun 2023.
Komen