MALAKOFF Corporation Berhad (Malakoff) hari ini melakukan penjenamaan semula syarikat berserta logo baharu dan memperbaharui hala tuju ke arah masa depan lebih mesra terhadap kelestarian alam.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata matlamat perniagaan yang diperbaharui Malakoff adalah kemuncak hasrat syarikat itu untuk menjadi sebuah organisasi yang dipacu secara lestari.
Beliau berkata menerusi tiga entiti di bawah Malakoff iaitu Malakoff Green Solutions, Malakoff Environmental Solutions dan Malakoff Energy, syarikat itu menjangkau pengeluaran tenaga bagi menjadi pendukung alam sekitar menyeluruh.
“Ini benar-benar pandangan 360 yang kita perlukan daripada sektor korporat bagi untuk membolehkan ekonomi kitaran membuahkan hasil. Saya cabar syarikat Malaysia lain untuk mempertimbangkan anjakan paradigma seumpama ini,” katanya dalam ucapan pada pelancaran penjenamaan semula Malakoff di Kuala Lumpur, hari ini.
Nik Nazmi berkata beliau tertarik untuk mengetahui Malakoff mempunyai perancangan untuk berkembang ke dalam segmen sisa kepada tenaga, memandangkan sektor tersebut diminati oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
Beliau berkata dalam anjakan paradigma kepada kitaran, semua pihak perlu melihat “sisa” sebagai sumber dengan sendirinya kerana terdapat potensi yang ketara namun belum diterokai dalam produk sampingan daripada proses rawatan kumbangan terutama biopepejal, bioefluen dan biogas.
“Penggunaan semula sisa secara kreatif boleh mengurangkan pembaziran selain memanjangkan hayat sumber asli kita yang sedia ada. Saya harap usaha Malakoff dalam bidang ini akan memberi inspirasi kepada semua,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Malakoff Ahmad Tajuddin Ali dalam ucapannya berkata penjenamaan semula itu menandakan komitmen syarikat berkenaan untuk menerajui revolusi hijau global sekali gus memperjuang usaha kerajaan untuk beralih kepada ekonomi kitaran.
Beliau berkata tunjang utama Malakoff adalah sejajar secara langsung dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan hasrat alam sekitar Malaysia.
“(Penjenamaan semula ini menandakan) permulaan baharu bagi kami sebagai penjana tenaga bebas dan syarikat pengurusan alam sekitar,” katanya.
Mengenai inisiatif penjenamaan semula itu, Malakoff dalam kenyataan memaklumkan hala tuju baharu berkenaan telah memacu syarikat itu untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan dengan memberi tumpuan terhadap sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan penyelesaian alam sekitar yang komprehensif dengan mewujudkan tiga entiti jenama baharu.
Menurut kenyataan itu, logo baharu tersebut menggariskan penubuhan tiga entiti baharu memenuhi hasrta untuk menjadi peneraju masa depan yang lestari menerusi kerjasama dan perkongsian dengan pihak berkaitan. – Bernama, 31 Mei, 2023.
Komen