Kematian saksi kes 1MDB diklasifikasikan mati mengejut, kata polis Selangor


Kematian Kee Kok Thiam, 56, yang merupakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) diklasifikasikan sebagai mengejut kerana meninggal dunia disebabkan faktor kesihatan. – Gambar Twitter, 31 Mei, 2023.

POLIS mengklasifikasikan kematian seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam siasatan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) pada Isnin lalu sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata kematian Kee Kok Thiam, 56, yang merupakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) itu disebabkan faktor kesihatan.

“Kes ini polis siasat sebagai SDR (mati mengejut) dan tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Firma Guaman Valen, Oh & Partners yang mewakili Kee dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan anak guam mereka meninggal dunia pada Isnin di sebuah hospital akibat angin ahmar.

Kee yang sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB serta SRC menghilangkan diri sejak 2018 tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 3.30 pagi 3 Mei lepas.

Beliau kemudian hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 10 pagi hari yang sama selepas diberikan Notis Perintah.

Semalam sebuah media antarabangsa melaporkan Kee ada mendedahkan dia bertemu Jho Low dan buruan kes 1MDB lain termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal Ariff Kamil di Macau.  – Bernama, 31 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen