Nurul Izzah nafi bertanding dalam PRN


Ravin Palanisamy

Nurul Izzah Anwar menolak dakwaan khabar angin beliau akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang namun akur dengan keputusan partinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2023.

ANAK perempuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah menolak dakwaan khabar angin beliau akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Buat masa ini, saya komited dengan tanggungjawab semasa saya sebagai ketua Sekretariat Badan Penasihat Menteri Kewangan yang diketuai oleh Hassan Marican,” kata naib presiden PKR itu.

Nurul mengulas laporan berita yang mendakwa beliau akan bertanding kerusi di Pulau Pinang dan akan diberi portfolio penting dalam kerajaan negeri sekiranya menang.

Beliau bagaimanapun tidak menolak sepenuhnya peluang untuk diletakkan sebagai calon pada pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi dengan mendakwa beliau bertanggungjawab mengikut pilihan partinya.

“Saya bagaimanapun terikat dengan keputusan parti saya,” tambahnya.

Nurul turut mengingatkan gabungan itu supaya berhati-hati dengan cabaran dalam pilihan raya akan datang.

“Kita mesti bekerja keras untuk mengamankan dan mengukuhkan PH dan Kerajaan Perpaduan di mana-mana.

“Kestabilan politik adalah penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Nurul berkhidmat sebagai ahli Parlimen di Lembah Pantai dari 2008 hingga 2018 dan di Permatang Pauh dari 2018 hingga 2022.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Pada Januari pelantikannya di Kementerian Kewangan sebagai penasihat kanan bapanya mendapat kritikan.

Susulan itu Nurul menarik diri tetapi ditugaskan semula ke Sekretariat Badan Penasihat Menteri Kewangan. – 31 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen