14 Jun buat Anwar failkan pembelaan dalam saman RM150 juta Dr Mahathir


Semasa kongres kebangsaan khas PKR pada 18 Mac, Anwar Ibrahim didakwa berkata "seseorang, selepas 22 tahun (dan) 22 bulan lagi berkuasa, merungut orang Melayu kehilangan segala-galanya." – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2023.

ANWAR Ibrahim diberi tempoh sehingga 14 Jun untuk memfailkan pembelaannya dalam saman fitnah RM150 juta yang dibawa oleh Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir menyaman Anwar selepas Anwar didakwa memanggil bekas perdana menteri itu sebagai rasis dan menuduhnya memperkayakan keluarganya ketika memegang jawatan.

Free Malaysia Today memetik peguam Anwar, Alliff Benjamin Suhaimi sebagai berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa pengurusan kes di hadapan penolong kanan pendaftar Elizabeth Low.

Peguam Dr Mahathir mesti memfailkan jawapan mereka pada 6 Julai. Pengurusan kes seterusnya akan diadakan pada 7 Julai.

Semasa kongres kebangsaan khas PKR pada 18 Mac, Anwar didakwa berkata “seseorang, selepas 22 tahun (dan) 22 bulan lagi berkuasa, merungut orang Melayu kehilangan segala-galanya… Bagaimana mereka tidak, jika anda (mengambil) segala-galanya untuk keluarga dan anak-anak anda. Sekarang apabila anda kehilangan kuasa, anda mahu bercakap mengenai rakyat.”

Perdana menteri juga mengecam mereka yang cuba mewujudkan perpecahan kaum, dengan mengatakan “patriotisme, perkauman dan ketaksuban agama adalah tempat perlindungan terakhir orang jahat”.

Dr Mahathir, dalam tuntutan mahkamahnya berkata kenyataan yang didakwa dibuat oleh Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan oleh itu, mempunyai kesan yang jauh lebih dahsyat terhadapnya berbanding dengan kenyataan serupa yang dibuat oleh rakyat biasa, sambil menambah dakwaan itu menjejas statusnya sebagai seorang negarawan dan bekas perdana menteri.

Beliau menuntut Anwar menarik balik semua kenyataan fitnah yang dibuat terhadapnya, yang disiarkan di media arus perdana dan media sosial.

Dr Mahathir juga mahukan permohonan maaf tanpa syarat dengan jaminan beliau tidak akan mengulangi kenyataan yang sama atau serupa pada masa hadapan. – 31 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen