PERATUS isi rumah yang mempunyai akses Internet meningkat kepada 96% tahun lalu, berbanding 94.9% pada 2021, menurut laporan terkini Jabatan Perangkaan (DoSM).
Laporan survei penggunaan dan capaian ICT oleh individu dan isu rumah yang dikeluarkan jabatan itu hari ini, memaklumkan akses isi rumah kepada telefon mudah alih, radio dan televisyen kekal melebih 95%, namun akses kepada siaran televisyen berbayar merekodkan peratusan lebih rendah iaitu 76.9% berbanding 83.2% pada 2021.
Laporan itu turut menyatakan penggunaan Internet dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas meningkat ke 97.4% (2022) berbanding 96.8% (2021), dengan aktiviti Internet paling popular di negara ini membabitkan diri dalam rangkaian sosial.
DoSM menjelaskan penggunaan Internet meningkat secara signifikan untuk perkhidmatan berkaitan mencari maklumat, komunikasi, sivik dan politik, e-Kerajaan, hiburan, e-Dagang dan perkhidmatan lain dalam talian.
“Aktiviti berkaitan perkhidmatan meningkat lebih daripada tiga mata peratus. Aktiviti berkaitan perkhidmatan adalah mencari maklumat mengenai barangan atau perkhidmatan, yang meningkat ke 92.5%; memuat naik kandungan ciptaan sendiri ke laman sesawang (17.6%); mengendalikan laman utama peribadi (10.3%).
“Aktiviti lain berkaitan perkhidmatan adalah menjalankan tugas secara dalam talian untuk menjana pendapatan (15.5%); perbankan Internet (74.8%); mendengar radio dalam talian (72.8%); menonton televisyen dalam talian (68.1%) dan membeli atau memesan barangan atau perkhidmatan menerusi e-Dagang (70.4%),” menurut laporan itu.
Berdasarkan kajian itu, DoSM melaporkan kemahiran ICT, iaitu satu daripada petunjuk yang dipantau dalam matlamat pembangunan lestari, juga semakin baik.
Aktiviti kemahiran ICT asas termasuk membuat salinan atau memindahkan fail menggunakan teknik ‘salin’ dan ‘tampal’ untuk membuat pendua atau digerakkan dalam sesuatu dokumen; dan menghantar e-mel dengan fail, masing-masing meningkat hingga 97%, 96.3% dan 89.4%.
Aktiviti yang memerlukan kemahiran khusus, seperti menggunakan formula aritmetik asas dalam suatu lembaran hamparan dan menulis pengaturcaraan komputer menggunakan bahasa pengaturcaraan, masing-masing meningkat ke 67.1% dan 23.5%.
Aktiviti lain turun meningkat, seperti menghubung dan memasang peranti baharu (79.2%), mencari, memuat turun, memasang dan mengkonfigurasi perisian (72.5%) dan menghasilkan bahan pembentangan secara elektronik menggunakan perisian komputer (62.9%).
Menurut DoSM, kajian itu dijalankan dalam fasa peralihan ke endemik, yang membolehkan masyarakat kembali menjalani kehidupan biasa selepas dua tahun berdepan Covid-19. – Bernama, 31 Mei, 2023.
Komen