TEKANAN terhadap mata wang ringgit berbanding dolar US diharap akan berkurangan apabila isu siling hutang Amerika Syarikat (AS) selesai dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan.
Beliau berkata, kerajaan sedang menunggu perkembangan terkini berhubung isu siling hutang AS dijangka diselesaikan dalam tempoh lima hingga enam hari lagi sebelum mengambil sebarang tindakan.
Kerajaan AS sedang berusaha menyelesaikan isu siling hutang itu secepat mungkin, manakala Presiden AS Joe Biden juga menyebut pentadbirannya akan cuba menyelesaikan isu itu sebelum 6 Jun depan.
“Tinggal beberapa hari sahaja lagi (sebelum tarikh akhir), kita harap perkara itu selesai, maka ringgit harapnya tidak sebagaimana apa yang berlaku hari ini,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mendengar taklimat berhubung kedudukan pasaran modal dalam negara.
Sementara itu, Ahmad berkata Pengerusi Eksekutif SC Awang Adek Hussin menerusi taklimat disampaikan beliau turut menegaskan pelabur yang memegang dolar AS berdepan situasi ‘stalemate’ (kebuntuan) apabila kemelut siling hutang AS tidak diselesaikan.
“Justeru, apabila siling hutang AS boleh ditingkatkan, pegangan terhadap dolar AS akan berkurangan dan permintaan terhadap dolar AS turut berkurangan seterusnya menyebabkan tukaran ringgit berbanding dolar AS akan berkurangan,” katanya.
Menurut laporan media antarabangsa, tarikh akhir berhubung kemelut siling hutang AS dilanjutkan sehingga 5 Jun depan sebelum negara itu berdepan masalah kehabisan aliran wang tunai.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata jumlah aduan mengenai penipuan atau scam yang diterima SC tahun lalu mencatatkan peningkatan 100% kepada 1,124 aduan berbanding 548 aduan pada 2020.
Sebanyak 60% daripada jumlah aduan diterima SC membabitkan penipuan pelaburan terutama secara dalam talian, membabitkan kerugian mencecah puluhan juta ringgit.
“Sehubungan itu, SC sudah dan akan mengambil langkah pre-emptif termasuk melalui ‘alert list’, menyekat laman sesawang dan media sosial serta mengeluarkan ‘notis cease and desist’ (notis pemberhentian),” katanya. – Bernama, 31 Mei, 2023.
Komen