SATU hari ketika mengosongkan tong sampah di ibu kota Colombia, Jose Alberto Gutierrez menemui sebuah naskah lama karya klasik “Anna Karenina” dan menyimpannya.
Kejadian itu berlaku 20 tahun lalu- dan pekerja pengutip sampah itu terus mengumpulkan buku yang dibuang di Bogota, yang sehingga kini menjadi perpustakaan percuma yang menyimpan sehingga 25,000 buah buku. Selain daripada buku yang dikutipnya, ada juga buku yang didermakan.
“Saya menyedari yang ramai orang membuang buku mereka ke dalam tong sampah. Saya mula selamatkannya,” kata Gutierrez, seorang lelaki gempal yang sudah beruban berusia 54 tahun kepada AFP.
Dia tidak pernah menamatkan persekolahan rendahnya, tetapi kini digelar “The Lord of the Books”.
Naskah karya Tolstoy itu kemudiannya disertai naskah terkenal lain seperti “The Little Prince”, “Sophie’s World”, “The Iliad” dan pelbagai karya penulis besar Colombia Gabriel Garcia Marquez.
Jiran Gutierrez mula berjumpanya untuk meminjam buku untuk membantu anak-anak mereka dengan kerja sekolah mereka.
“Tidak banyak (buku) di kawasan ini, jadi kami mula membantu.”
Kini seluruh lantai rumahnya yang terletak di bukit kawasan kelas pekerja di daerah Nueva Gloria dipenuhi buku.
Bersama-sama isterinya Luz Mery Gutierrez dan tiga anaknya, Gutierrez membuka perpustakaan percuma di rumahnya pada 2000.
Sukarelawan mula datang membantu, berita tersebar dan lelaki pengutip sampah itu menemui dirinya dijemput menghadiri pesta buku di Santiago, Monterrey selain pesta buku di Bogota.
Kalau dahulu bekalan bukunya adalah daripada buku yang dikutip di jalanan, kini kebanyakkan bukunya hasil sumbangan derma orang ramai. Perbelanjaan lain untuk menguruskan perpustakaan percuma itu datang daripada poketnya sendiri.
Koleksi menjadi sangat banyak sehingga mereka terpaksa menghentikan sesi bacaan kepada kanak-kanak yang dahulunya diadakan di rumah kerana kesempitan ruang.
Mereka juga mula merantau ke seluruh negara untuk memberikan buku percuma kepada kawasan miskin dan terpencil di negara itu.
Gutierrez berkata yang ibunya adalah orang pertama yang menyuburkan kecintaan kepada sastera dengan membacakan komik kepada ketika dia membesar.
Tidak menyempurnakan persekolahan ketika kecil bukan halangan untuk dia menyambung pelajaran sekarang untuk menduduki peperiksaan pelajar keciciran walaupun sudah dimamah usia.
Antara mereka yang menghubunginya meminta sumbangan buku adalah pejuang kumpulan pemberontak haluan kiri FARC.
Lebih kurang 7,000 ahlinya berkumpul di zon genjatan senjata menerusi perjanjian damai yang ditandatangani dengan kerajaan minggu lepas.
Ahli FARC meminta Gutierrez menghantar buku untuk pejuang mereka. Mereka perlu belajar dan melatih diri mencari pekerjaan sebaik sahaja mereka meletakkan senjata.
“Buku mengubah saya, jadi saya fikir buku adalah simbol harapan kepada mereka juga,” kata Gutierrez.
“Buku adalah simbol keamanan.” – AFP, 6 Jun, 2017.
Komen