BEKAS ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggesa penduduk Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kerana mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat dan cuba mewujudkan permusuhan rakyat Kedah dan Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan hari ini, ahli Parlimen Bagan itu berkata dengan membuat provokasi dan mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang dan hak sebagai negeri, Sanusi membahayakan keamanan dan keselamatan negara.
“Laporan polis perlu dibuat oleh 1.8 juta penduduk Pulau Pinang untuk mengambil tindakan terhadap Sanusi, bagi melindungi Pulau Pinang dan mencegah penceroboh politik ke negeri kami, sebagai memastikan kita boleh terus hidup aman dan menikmati kemakmuran,” katanya yang juga pengerusi DAP.
Lim berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ramkarpal Singh sudah pun menolak kenyataan Sanusi yang mengatakan Pulau Pinang adalah hak Kedah.
Mereka mendakwa pemimpin PAS itu gagal memahami undang-undang hinggakan tidak menghormati dan malah merendahkan Perlembagaan Persekutuan, kata Lim.
“Anwar berkata Sultan Kedah sendiri tidak pernah menafikan hak kewujudan Pulau Pinang sebagai negeri ketika Sultan Kedah memperkenankan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Pulau Pinang sebagai satu daripada 13 negeri berdaulat di Malaysia.
“Ini bukan kali pertama Sanusi membuat kenyataan yang melampau dan tuduhan palsu terhadap Pulau Pinang,” katanya.
Sanusi dilapor berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah serta mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.
Susulan kenyataan itu, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan usul sebulat suara, disokong satu-satunya Adun PAS, mengutuk Sanusi kerana meragui kedaulatan Pulau Pinang.
Anwar turut berkata Sanusi patut memahami Perlembagaan Persekutuan.
“Kadang-kadang bila seorang pemimpin berucap dia kena faham Perlembagaan, dia kena faham perjanjian.
“Walaupun ada perjanjian 300 tahun dulu, 1,000 tahun dulu, dia ada perjanjian terakhir penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan itu jelas. – 31 Mei, 2023.
Komen