Malaysia hargai usaha Arab Saudi teruskan program Mecca Route, kata menteri


Program "Mecca Route" mempercepatkan proses dokumentasi bakal jemaah haji tanpa perlu bersesak dengan penumpang bagi destinasi lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2023.

MALAYSIA menghargai kepercayaan yang diberikan kerajaan Arab Saudi untuk meneruskan program “Mecca Route” yang dimulakan secara rintis pada 2017, kata Menteri Luar Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata ketika dilaksanakan enam tahun lalu, Malaysia adalah negara tunggal dipilih kerajaan Arab Saudi untuk projek rintis program itu sebelum disusuli tahun berikutnya dengan penyertaan Pakistan, Indonesia, Maghribi dan Bangladesh.

“Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang memberi kepercayaan kepada Malaysia.

“Ini satu daripada perkhidmatan terbaik dan saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Arab Saudi. Kami sedia bekerjasama dalam bidang lain,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan ke kaunter khas Jabatan Imigresen dan Imigresen Arab Saudi bagi program “Mecca Route” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang malam tadi.

Menyifatkan program itu sebagai program istimewa kepada bakal jemaah haji Malaysia, Zambry berkata ia mempercepatkan proses dokumentasi bakal jemaah haji tanpa perlu bersesak dengan penumpang bagi destinasi lain.

“Ini merupakan pendekatan kreatif yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi. Bukan semua negara dapat keistimewaan seumpama ini,” katanya.

Kerajaan Arab Saudi yang masih meneruskan program “Mecca Route” yang membolehkan bakal jemaah haji Malaysia ke Makkah tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa, sebaik tiba di lapangan terbang negara itu.

Menerusi program itu, anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program itu akan memeriksa pasport jemaah haji dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah, jemaah haji Malaysia tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di negara itu.

Sementara itu, Duta Arab Saudi ke Malaysia Mesaad Ibrahim Abdullah Al Sulaim mendoakan jemaah haji Malaysia yang mengerjakan haji tahun ini mendapat haji yang mabrur.

“Kami gembira untuk memudah cara jemaah haji Malaysia dan Alhamdulillah, insya-Allah mereka akan mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Seramai 31,600 jemaah haji yang merupakan kuota penuh rasmi negara pergi ke Tanah Suci tahun ini bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula pada 21 Mei manakala penerbangan pulang terakhir adalah pada 1 Ogos depan. – Bernama, 31 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen