Ukraine nafi terlibat serangan dron ke atas Moscow


Penasihat presiden di Kyiv Mykhailo Podolyak nafi Ukraine terlibat dalam serangan dron di Moscow. – Gambar AFP, 31 Mei, 2023.

UKRAINE menafikan terlibat dalam serangan dron di Moscow, ibu negara Russia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Sudah pasti kami tidak terlibat,” kata penasihat pejabat presiden di Kyiv, Mykhailo Podolyak, semalam dalam satu program radio.

Beliau berkata dron Russia mungkin kembali kepada penghantarnya.

“Anda tahu kita sedang menghampiri era kecerdasan buatan. Mungkin tidak semua dron bersedia untuk menyerang Ukraine dan mahu kembali kepada penciptanya,” kata Podolyak.

Pada masa sama, penasihat kerajaan Ukraine itu menjangkakan jumlah serangan ke atas wilayah Russia mungkin akan terus meningkat.

“Semua orang yang percaya… mereka boleh memusnahkan negara berdaulat lain dengan sewenang-wenangnya masih belum faham selepas 15 bulan mereka masih belum mencapai apa yang berlaku pada 2014,” katanya merujuk kepada tahun Russia mengambil alih semenanjung Crimea di Ukraine. – Bernama, 31 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen