Demi negara, akar umbi DAP sedia kerjasama dengan Umno


Mohd Farhan Darwis Noel Achariam

Akar umbi DAP akur keputusan dan pendirian kepimpinan parti itu di mana ahli dan penyokongnya digesa bekerjasama dan mengundi calon Umno dan BN pada PRN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2023.

AKAR umbi DAP akur keputusan dan pendirian kepimpinan parti itu yang menggesa ahli dan penyokongnya untuk bekerjasama dan mengundi calon Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang demi kepentingan negara dan rakyat.

Penyokong dan ahli akar umbi DAP berkata mereka akur apa saja ketetapan dibuat kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat, demi mempertahankan kestabilan kerajaan dan negeri.

Nalan Muniandy, akar umbi DAP Selangor, dari Pandamaran bagaimanapun berkata, pimpinan harus memberikan penjelasan kepada akar umbi bagi mengelakkan kejadian sama berlaku seperti mana ketika mereka menyokong Bersatu, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kami akur keputusan kepimpinan parti, mereka adalah pembuat keputusan, kami mahu PH terus kekal memerintah di Selangor dan akan terus menyokong mereka.

“Tetapi (pimpinan perlu berikan penjelasan), kita tak mahu apa yang berlaku dengan Bersatu berulang kembali selepas kita bekerjasama pada PRU14. Ia tidak berjaya,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi baru-baru ini.

Bersatu menyertai PH dalam pilihan raya itu dan bersama-sama mereka berjaya menumbangkan BN buat pertama kali dan menubuhkan kerajaan.

Namun kerajaan PH waktu itu hanya mampu bertahan kira-kira 22 bulan sahaja selepas Bersatu meninggalkan PH dan membentuk kerjasama bersama PAS dan menubuhkan Perikatan Nasional (PN) yang kini merupakan pembangkang di Parlimen.

Pasca PRU15, tiada mana-mana gabungan mampu menubuhkan kerajaan dan menyaksikan musuk ketat seperti BN dan PH duduk semeja dan bekerjasama menubuhkan kerajaan perpaduan dengan penyertaan parti dari Sabah dan Sarawak.

T. Letchiamanan, akar umbi DAP Selayang pula berkata, pimpinan harus segera memberikan penerangan dan penjelasan kepada akar umbi berhubung kerjasama dengan Umno, memandangkan PRN semakin dekat.

“Kami akar umbi yang akan melaksanakan semua kerja (kempen PRN), kami berharap untuk ada perbincangan dengan pimpinan DAP. Setakat ini belum ada sebarang perjumpaan.

“Kami tidak tahu apa terma kerjasama antara DAP dengan Umno, kami juga tidak tahu siapa bertanding di mana.

“Tetapi jentera kami sentiasa bersedia (menghadapi PRN),” katanya.

Seorang pemimpin akar umbi DAP Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Siang berkata, ahli sepertinya akan patuh kepada keputusan parti sekiranya ia memberi kebaikan kepada negara dan rakyat.

“Kami ikut saja arahan parti…dan DAP boleh bekerjasama atas kebaikan rakyat dan negara.

“Berbanding dengan masa depan negara, pergaduhan (antara DAP dan Umno) adalah perkara kecil,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Kedah Zulhazmi Shariff berkata kepimpinan DAP akan memastikan kerjasama antara jentera kedua-dua parti politik itu akan dapat berlaku kerana itu adalah peluang untuk mereka menang PRN.

Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang bakal menjalankan PRN selepas negeri tersebut tidak membubarkan DUN mereka ketika PRU15 pada November, tahun lalu.

PRN itu juga bakal menyaksikan sama ada kerjasama parti yang membentuk kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan mampu diterjemahkan ke peringkat negeri, lebih-lebih lagi apabila Umno dan DAP menjadi antara 19 parti dalam kerajaan pimpinan Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

PRN kali ini akan menyaksikan sama ada kerjasama parti yang membentuk kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Pengerusi PH Anwar Ibrahim mampu diterjemahkan ke peringkat negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2023.

Kedah juga antara negeri terawal yang menganjurkan konvensyen kerajaan perpaduan peringkat negeri, selepas konvensyen nasional pertama berlangsung di ibu pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada 13 Mei lalu.

“Kita akan usahakan benda itu. Apabila berlaku PRN kita akan pergi ke akar umbi, DAP akan turun kempen di kawasan, contohnya BN diwakili calon Umno bertanding, nak tak nak macan mana pun kena menangkan dia.

“Sebab yang bertanding adalah calon PN lawan BN. Takkan nak menangkan calon PN. Mestilah kita bekerja yakinkan ahli dan pengundi kenapa perlunya mengundi BN,” kata Zulhazmi kepada The Malaysian Insight.

Calon DAP Parlimen Jerai pada PRU15 itu juga sedar kerjasama itu menimbulkan rasa kurang senang segelintir ahli berikutan kedua-dua parti itu bermusuh sejak sekian lama, sebelum disatukan selepas PRU15.

“Mungkin ada antara ahli tak berapa setuju tapi ada alasannya, sebab kenapa kita kena ajak pengundi keluar mengundi dan pilih calon kawan kita. Itu satu benda yang sewajarnya berlaku.

“Kalau kata kalau calon DAP sendiri, Umno juga kena ajak ahlinya mengundi calon DAP. Itu yang berlaku, dulu sewaktu Bersatu kerjasama dengan PH boleh saja buat begitu,” katanya.

Beliau juga melihat tiada masalah bagi mereka bekerjasama kerana BN yang ditunjangi Umno, mempunyai keanggotaan parti kaum seperti MCA dan MIC yang masing-masing mewakili Cina dan India.

Sedangkan DAP pula adalah parti berbilang bangsa yang pimpinannya terdiri daripada pelbagai kaum.

“Sebab itu bagi saya, tak nampak apa masalah DAP sampai orang musuh sangat dengan DAP. Apa benda yang salahnya dengan DAP.

“Daripada dulu kita tanya kawan-kawan daripada parti lawan, Bersatu, PAS pernah bekerjasama dengan DAP, apa benda salahnya DAP ini,” kata Zulhazmi.

Tambah Zulhazmi, pimpinan komponen kerajaan perpaduan di Kedah juga sudah mula menggerakkan kerjasama berkenaan ke peringkat akar umbi bermula daripada jawatankuasa perpaduan di peringkat Parlimen sehingga ke DUN masing-masing.

“Setakat sekarang memang kita dah bergerak ke arah itu. Di beberapa kawasan contohnya di Kedah memang ada jawatankuasa perpaduan peringkat Parlimen dan kita buat sama macam di Pusat buat, sekretariat perpaduan negeri, Parlimen dan turun ke peringkat DUN.

“Bilik gerakan belum buka, baru lepas konvensyen minggu lepas, tetapi sekarang kita di peringkat untuk memperhalusi kerjasama, daripada segi rundingan kerusi hampir 80% selesai.

“Selepas ini bila dimuktamadkan kerusi maknanya di peringkat DUN sendiri akan ada seketariat jentera PRN perpaduan. Bukan PH atau BN lagi, tetapi jadi kerajaan perpaduan,” katanya.

Mereka juga akan bergerak sebagai satu pasukan dikenali sebagai Perpaduan Kedah, bagi menghadapi PRN nanti, dan dalam usaha menggantikan pentadbiran PAS di Kedah.

“Logo apa semua bergantung diputuskan pusat, kita bergerak atas nama perpaduan Kedah, BN gabung dengan PH itulah yang akan jadi jentera diperingkat DUN.

“Setakat maklumat saya ada di Kedah kita serius sampai ke tahap itu,” katanya. – 31 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen