MIC sokong calon Pakatan pada PRN


Ravin Palanisamy

MIC mengesahkan akan menyokong calon PH pada PRN akan datang ketika rundingan kerusi sedang dibuat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2023.

PARTI komponen Barisan Nasional (BN) MIC mengesahkan akan menyokong calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang ketika rundingan kerusi sedang dibuat.

Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran bagaimanapun berkata beliau juga mengharapkan perkara yang sama daripada rakan kongsi mereka.

“MIC kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan di bawah BN.

“Kami akan terus menyokong kerajaan ini. Kami akan bekerjasama seperti yang kami janjikan untuk berbuat demikian.

“Dan kami mengharapkan kerjasama yang sama daripada ahli PH di tempat yang kami bertanding, sama seperti yang mereka harapkan daripada kami,” kata Rajasekaran kepada The Malaysian Insight.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebelum ini berkata PH akan membantu kempen BN pada PRN akan datang.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi juga yakin parti di bawah kerajaan perpaduan akan mendapat sokongan pengundi pada PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

Rajasekaran, yang juga ahli majlis tertinggi BN berkata rundingan kerusi masih berjalan dan tiada yang dimuktamadkan lagi.

“Kami masih belum membuat kesimpulan perbincangan di peringkat negeri. Rundingan masih diteruskan,” katanya.

Rajasekaran juga menepis dakwaan MIC mengemukakan tuntutan untuk kerusi dalam pilihan raya akan datang.

Sebelum ini dilaporkan MIC sedang mengintai kerusi Perai dan Seri Delima di Pulau Pinang.

Sumber berkata MIC berminat dengan Perai kerana kawasan DUN itu menjadi kubu tradisi.

Pemimpin seperti Rajapathy Kuppusamy dan mendiang V Muthusamy berkhidmat untuk masyarakat India di sana selama empat penggal dari 1991 hingga 2008.

P Ramasamy daripada DAP menjadi Adun Perai sejak 2008, manakala Syerleena Abdul Rashid akan menamatkan penggal pertamanya mewakili Seri Delima.

“Bukannya MIC mengemukakan tuntutan kerusi kami. Kami sebenarnya berbincang secara en-bloc dengan PH.

“Kita kena praktikal (mengenai kerusi penyandang). Beberapa kerusi sudah dimenangi PH sebelum ini.

“Saya pasti presiden dan timbalan presiden kita akan melihat dan memutuskan apa yang terbaik untuk parti,” kata Rajasekaran.

Enam negeri - Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu - perlu mengadakan PRN masing-masing sebelum September tahun ini.

Mereka tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri mereka untuk mengadakan PRN sempena Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.

Pada 2018, semasa Pilihan Raya Umum ke-14, MIC bertanding tiga kerusi negeri di Selangor, Negeri Sembilan (2), Pulau Pinang (2) dan Kedah (2) - hanya memenangi kerusi Jeram Padang di Negeri Sembilan.

Rajasekaran berkata bahagian parti di setiap negeri sedang bekerja keras untuk PRN akan datang. – 31 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen