Pemimpin Singapura ucap tahniah kepada Erdogan


Recep Tayyip Erdogan berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai presiden Turkiye selepas memenangi pilihan raya yang disifatkan sebagai paling mencabar dalam sejarah negara itu. – Gambar AFP, 30 Mei, 2023.

PARA pemimpin Singapura mengucapkan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan atas pemilihan semula beliau sebagai presiden Turkiye.

“Rakyat Turkiye memberi anda mandat yang mencerminkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan anda,” kata Presiden Singapura Halimah Yacob dalam surat tahniahnya kepada Erdogan.

Halimah berkata Turkiye dan Singapura menikmati hubungan kukuh dan akrab.  

“Kami mempunyai hubungan kukuh dalam banyak bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi serta pengangkutan.

“Kami juga mempunyai hubungan budaya yang baik berpunca daripada hubungan sejarah antara Asia Tenggara dan Empayar Uthmaniyyah,” katanya.

Halimah berharap Erdogan “senantiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan kejayaan” dan “dapat bekerja sama dengan rapat untuk mengeratkan hubungan yang saling menguntungkan antara kedua-dua negara.”

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata kedua-dua negara berkongsi hubungan mesra yang sekian lama yang disokong oleh “Perkongsian Strategik dan Perjanjian Perdagangan Bebas Turkiye–Singapura (TRSFTA)”.

“Kami menikmati kerjasama erat dalam bidang ekonomi, budaya dan rakyat dengan rakyat dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi digital.

“Singapura juga berbesar hati untuk terus menyokong Turkiye dalam usahanya untuk memperdalam lagi penglibatan di rantau kita di bawah Inisiatif Asia Anew,” kata Lee dalam surat tahniahnya.

Lee berharap dapat bekerjasama rapat dengan Erdogan untuk meningkatkan perkongsian dua hala dan mendoakan kejayaannya dalam penggal yang akan datang.

“Saya tidak sabar untuk bertemu lagi dengan anda…,” kata Lee. – Bernama, 30 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen