Ramasamy persoal MIC, MCA mahu intai kerusi di Pulau Pinang


HANYA kerana Barisan Nasional (BN) sebahagian daripada kerajaan perpaduan tidak bermakna dua parti komponen gabungan itu, MIC dan MCA, boleh mendapat kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang, kata P Ramasamy.

Jika MIC dan MCA diberi kerusi yang diminta, adakah kedua-dua parti itu mampu menarik sokongan pengundi Cina dan India di negeri negeri itu, soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Wakil rakyat DAP yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu mengulas laporan media yang menyebut MIC sedang mengintai kerusi DUN Perai dan Seri Delima pada PRN akan datang.

“Menjadi sebahagian kerajaan perpaduan bukan alasan tepat mengapa MIC harus diberi kerusi.

“Melainkan mereka boleh tunjuk yang mereka boleh menarik undi masyarakat India, tetapi malangnya masyarakat India di Perai dan kawasan lain menyokong kuat Pakatan Harapan (PH), katanya.

Tambah Ramasamy lagi, Seri Delima bukanlah kerusi tradisi MIC, dan hanya kerana calon India DAP pernah bertanding sebelum ini tidak bermakna MIC boleh tarik pengundi di kawasan itu.

Kerusi DUN Perai disandang oleh Ramasamy sejak 2008. Kerusi DUN Seri Delima pula disandang oleh Syerleena Abdul Rashid, juga dari DAP, sejak 2018.

Free Malaysia Today (FMT) hari ini melaporkan MIC sedang mengintai dua kerusi DUN terbabit pada PRN akan datang.

Sumber dipetik portal itu berkata MIC berminat dengan Perai kerana DUN itu selama ini menjadi kubu tradisi parti itu, atas alasan  pemimpin seperti Rajapathy Kuppusamy dan mendiang V Muthusamy berkhidmat untuk masyarakat India di sana selama empat penggal dari 1991 hingga 2008.

“Memandangkan Syerleena sudah menjadi ahli Parlimen Bukit Bendera, kerusi (Seri Delima) mungkin akan kosong, jadi mengapa kita tidak cuba?” kata sumber itu dipetik FMT.

MIC akan berpuas hati dengan satu kerusi, katanya, menambah MIC tidak boleh dibiarkan tangan kosong “supaya kerajaan perpaduan mempunyai makna”. – 30 Mei 2023. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen