PEMBINAAN Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan dengan kos RM605 juta dijadualkan bermula dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam peringkat akhir melantik kontraktor utama yang dijangka selepas selewat-lewatnya hujung Jun ini.
“Komponen projek ini melibatkan pertambahan katil sebanyak 376 buah dan beberapa kemudahan utama seperti Unit Rawatan Intensif Pediatrik (PICU), Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan Wad Kebergantungan Tinggi (HDW).
“Ia turut merangkumi klinik pakar, dewan bedah, Unit Bekalan Bahan Steril (CSSU) dan tempat letak kereta,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Norhayati Rusli, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengarah Kesihatan Pahang Dr Nor Azimi Yunus.
Pembinaan blok baharu itu yang diluluskan dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada 2019 akan memanfaatkan sekitar 564,000 penduduk daerah ini apabila siap kelak.
Sementara itu mengulas mengenai pembinaan Hospital Maran yang tertangguh sekian lama Dr Zaliha berkata Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP) mengadakan lawatan tapak baharu pada Khamis lepas (25 Mei).
JKNP akan mendapatkan penilaian tapak daripada pihak berkaitan termasuk JKR, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pengesahan status tanah daripada Pejabat Tanah dan Daerah.
Secara keseluruhannya Dr Zaliha berkata peruntukan berjumlah RM1.12 bilion diberikan bagi tujuan pembangunan kesihatan di Pahang yang turut merangkumi RM12.9 juta bagi kerja baik pulih klinik daif yang diumumkannya semalam.
Bagi kerja baik pulih itu Dr Zaliha berkata kerja perolehan bagi 41 klinik bermula dengan jangkaan siap antara dua ke tujuh bulan manakala sebuah lagi klinik dalam proses perolehan. – Bernama, 29 Mei 2023.
Komen