Bank Negara perlu jujur punca ringgit jatuh, kata ahli Parlimen PKR


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen PKR Abdul Hassan Karim menggesa Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus untuk bercakap benar dan menjelaskan sebab di sebalik kejatuhan nilai ringgit yang berterusan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei 2023. 

GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus perlu bercakap benar dan menjelaskan sebab di sebalik kejatuhan nilai ringgit yang berterusan, kata Abdul Hassan Karim dari PKR.

Beliau menggesa gabenor Bank Negara untuk berhenti memberikan kenyataan “gula-gula” mengenai keadaan ekonomi Malaysia dan sebaliknya bersikap jujur dengan mendakwa kejatuhan nilai mata wang boleh memudaratkan negara serta kesejahteraan rakyat.

“Jadi Gabenor Bank Negara kena cakap jujur kepada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hal sebenarnya yang menjadi punca kejatuhan Ringgit sekarang ini.

“Jangan bagi kenyataan gula-gula iaitu kononnya, ekonomi dan kewangan Malaysia dalam landasan yang betul dan berkembang. Kononnya, nilai Ringgit jatuh sementara dan terkawal. 

“Rakyat tidak mahu cakap-cakap seperti ini. Rakyat Malaysia sekarang cerdik dan mempunyai maklumat terkini di tangan mereka,” kata ahli Parlimen Pasir Gudang itu. 

Ahli parlimen veteran Johor itu turut membidas bank pusat kerana berkata kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan mengukuhkan mata wang tetapi kini keputusannya sebaliknya berlaku.

“Gabenor BNM kena perjelas kepada perdana menteri satu hal spesifik. Misalnya isu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

“BNM kata kenaikan kadar OPR akan mengukuhkan nilai ringgit. Dah banyak kali OPR dinaikkan oleh Bank Negara tetapi kenapa nilai Ringgit Malaysia semakin jatuh,” katanya.

Hassan mengulas berkenaan pengurusan berterusan BNM terhadap kejatuhan ringgit dan ekonomi negara sambil menjawab pandangan Nor Shamsiah bahawa kenaikan OPR tidak dibuat sebelum waktunya sebaliknya merupakan langkah yang dipertimbangkan dengan teliti untuk menurunkan kadar inflasi di Malaysia.

Awal bulan ini BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas, memulihkan OPR ke tahap pra-pandemik pada 3%.

Kenaikan itu merupakan kenaikan kelima BNM sejak Mei tahun lepas.

Hassan berkata BNM tidak boleh menepis dan cuci tangan menyatakan Ringgit jatuh bukan salah mereka tetapi banyak faktor luar di luar kawalan mereka.

“Bank Negara pun tidak boleh berhujah semua matawang asing juga jatuh macam ringgit. Nasib baik Bank Negara tak cakap macam itu. Ketika nilai Ringgit jatuh berbanding Dolar Amerika, maka kenapa nilai dolar Singapura dan Rupiah Indonesia naik melonjak.

“Adakah wujud masalah struktur dalam sektor kewangan dan ekonomi Malaysia? Kita tidaklah boleh bersorak gembira. Apabila dolar Singapura melonjak tinggi dan Ringgit Malaysia jatuh dan lemah maka peniaga di Johor Bahru dapat keuntungan besar atau rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sekarang melonjak pendapatannya dalam Ringgit Malaysia.

“Kejatuhan Ringgit Malaysia seperti tidak terkawal sekarang ini mempunyai kesan buruk kepada ekonomi Malaysia. Kita mengimport banyak barang dari luar negara. Malaysia juga ada berhutang dengan pihak luar. Ini semua memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, kos sara hidup rakyat dan hutang negara.

“Jadi gabenor Bank Negara dan pasukannya perlu memberi nasihat kepada perdana menteri dan kabinet pimpinannya untuk selamatkan ekonomi dan kewangan negara yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat.Bercakap benarlah walaupun pahit,” katanya.

Hassan berkata adalah tidak munasabah untuk menyalahkan kerajaan sekarang atas kejatuhan ringgit, dengan mendakwa mata wang itu lemah walaupun semasa pentadbiran lalu.

“Bukan sekarang sahaja nilai Ringgit jatuh. Kerajaan dulu-dulu pun mengalami kejatuhan Ringgit.

“Misalnya, setahun yang lalu pada 22 Mei 2022 ketika Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri, nilai Ringgit juga lemah. Tetapi soalannya kenapa selepas enam bulan kerajaan baru pimpinan Anwar Ibrahim mentadbir dengan pelbagai dasar-dasar kewangan yang baik, tetapi keadaan yang sama masih berlaku. Malah nilai Ringgit lebih rendah berbanding setahun lalu.

“Adakah faktor-faktor lain yang bukan berbentuk ekonomi dan kewangan yang menjadi antara punca kejatuhan nilai Ringgit?  Misalnya soal keyakinan rakyat Malaysia terhadap prestasi ekonomi negara ini dan masa depan kehidupan mereka. Kalau jawapannya ya, maka sila beritahu perdana menteri supaya langkah pemulihan dapat dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Hassan berkata BNM perlu membantu kerajaan, tidak kira siapa yang memimpinnya.

“Perdana menteri dan Menteri Kewangan atau Menteri Ekonomi mereka adalah pemimpin politik di cabang eksekutif yang menggubal dasar dan melaksanakannya.Tugas mereka untuk seluruh negara. Berat dan luas.

“Tak kira apa nama kerajaan itu sama ada kerajaan perpaduan atau kerajaan keluarga Malaysia atau kerajaan prihatin,” katanya. – 29 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen