Keputusan SPM 2022 diumum 8 Jun


Slip keputusan akan dihantar melalui pos bagi calon persendirian atau menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2023.

KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 akan diumumkan pada 8 Jun (Khamis), demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM dari sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi.

Slip keputusan akan dihantar melalui pos bagi calon persendirian atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan melalui kaedah secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM 2022 mulai jam 10 pagi pada 8 Jun sehingga jam 6 petang pada 14 Jun.

Semakan juga boleh dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM 2022 dengan menaip SPMNombor Kad PengenalanAngka Giliran dan hantar ke 15888.

Sistem itu akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 8 Jun sehingga jam 6 petang pada 14 Jun.

Seramai 403,637 calon berdaftar bagi menduduki peperiksaan SPM 2022 di 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara. – Bernama, 29 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen