Erdogan dipilih semula sebagai presiden Turkiye 


Recep Tayyip Erdogan berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai presiden Turkiye selepas memenangi pilihan raya yang disifatkan sebagai paling mencabar dalam sejarah negara itu. – Gambar EPA, 29 Mei, 2023.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan menggesa agar perkukuh perpaduan negara pada Isnin selepas memenangi pilihan raya bersejarah yang melanjutkan dua dekad pemerintahannya sehingga 2028.

Pemimpin berusia 69 tahun itu sebelum ini berjaya mengatasi krisis ekonomi terburuk Turki dan berdepan pakatan pembangkang paling kuat dalam usahanya untuk memenangi pilihan raya paling sukar.

Rakyat Turkiye membunyikan hon kereta di sepanjang jalan raya di luar istana presiden di Ankara sebagai meraikan kemenangan pemimpin terpenting Turkiye dalam sejarah moden yang turut menerima penghormatan daripada masyarakat antarabangsa.

“Kita harus bersatu dalam memperkukuhkan perpaduan. Kami menyeru dengan sepenuh hati kami,” kata Erdogan kepada orang ramai yang melaungkan slogan kemenangan dan mengibarkan bendera.

Keputusan hampir lengkap menunjukkan Erdogan menewaskan pencabar pembangkang sekular Kemal Kilicdaroglu dengan peratusan empat mata.

“Saya berharap untuk terus bekerjasama sebagai Sekutu Nato dalam isu dua hala dan berkongsi cabaran global,” kata Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menerusi Twitter ketika Erdogan berucap.

Sementara itu pemimpin Rusia Vladimir Putin berkata keputusan itu menunjukkan sokongan kepada “usaha Erdogan untuk mengukuhkan kedaulatan negara dan meneruskan dasar luar yang bebas”.

Volodymyr Zelensky dari Ukraine berkata beliau mahu terus bekerjasama dengan Erdogan “untuk keselamatan dan kestabilan Eropah”.

Pemimpin di seluruh Eropah dan dunia Arab turut menyampaikan ucapan tahniah—begitu juga bekas presiden AS Donald Trump.

Aliran trafik di Dataran Taksim yang ikonik di Istanbul terhenti dan sekumpulan besar penyokong menyanyi dan mengibarkan bendera berkumpul di seluruh Turki.

“Rakyat kami memilih pemimpin yang betul,” kata salah seorang penyokong Nisa Sivaslioglu, 17, ketika ditemui di ibu negara Turki.

“Saya menjangkakan Erdogan akan menambah lagi perkara baik yang telah dia lakukan untuk negara kita.” – AFP, 29 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen