GERGASI internet Facebook dan Google hari ini memberi amaran kepada Singapura menentang usaha negara itu memperkenalkan undang-undang baru untuk memerangi “berita palsu”, mengatakan undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani masalah itu.
Amaran itu diberikan kepada Jawatankuasa Parlimen yang sedang meneliti pelbagai usaha, termasuk perundangan bagi menangani maklumat palsu dalam talian yang didakwa kerajaan boleh mengancam keselamatan negara.
Eksekutif daripada Facebook, Google dan Twitter mengadap jawatankuasa itu hari ini, sebahagian daripada sekumpulan pakar, ahli akademik dan aktivis yang dipanggil untuk memberi keterangan selama lapan hari.
Negara pusat kewangan itu antara beberapa negara yang sedang meneliti untuk memperkenalkan undang-undang berita palsu yang diselar pengkritik boleh mengancam kebebasan bersuara.
Kerajaan Singapura menafikan ia cuba untuk membataskan hak bersuara.
Dalam penyata yang dihantar kepada jawatankuasa sebelum memberi keterangan, Alvin Tan, ketua dasar awam Facebook Asia Tenggara mengatakan: “Kami tidak percaya perundangan adalah pendekatan terbaik menangani isu ini.
“Singapura sudah mempunyai pelbagai undang-undang dan peraturan sedia ada yang menangani ucapan kebencian, fitnah dan penyebaran berita palsu.”
Kenyataanya itu dikeluarkan ketika Facebook sedang bergelut dengan skandal melibatkan Cambridge Analytica yang memanipulasi jutaan data pengguna media sosial itu.
Google juga menimbulkan kebimbangan mengenai undang-undang berita palsu, mengatakan dalam penyata bertulisnya yang “cara paling berkesan memerangi salah maklumat adalah mendidik rakyat bagaimana untuk membezakan maklumat sahih dan tidak sahih”.
Berbanding perundangan, ia mendesak “penggalakan kewartawanan berkualiti bagi memastikan wujudkan rangkaian luas organisasi periksa fakta yang menyediakan maklumat boleh dipercayai dan menghapuskan penipuan”.
Hampir 164 orang menulis kepada jawatankusa untuk memberikan pandangan mereka berkaitan berita palsu. Selepas pendengaran itu yang dijangka berakhir minggu depan, jawatankuasa akan mula mengambil cadangan ahli Parlimen dalam tempoh sebulan.
Perundangan antara pilihan yang sedang dipertimbangkan jawatankuasa tetapi tidak maklumat lanjut mengenai undang-undang itu dikeluarkan kepada orang awam.
Media negara itu dikawal ketat dan Singapura berada di kedudukan 151 daripada 180 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan. – AFP, 22 Mac, 2018.
Komen