Jangan berangan sertai kerajaan perpaduan, kata Zahid kepada PAS


Ahmad Zahid yang juga presiden Umno berkata PAS seelok-eloknya kekal dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN). – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2023.

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang parti Islam itu ditawarkan untuk menyertai kerajaan perpaduan.

Katanya, PAS tidak perlu berangan-angan untuk jadi sebahagian daripada kerajaan sekarang.

“Jangan nak perasan (kononnya) ada orang tawarkan sertai Kerajaan Perpaduan,” katanya, seperti dipetik BH Online di Bagan Datuk, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga presiden Umno berkata PAS seelok-eloknya kekal dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Saya rasa eloklah mereka (PAS) terus berkawan dengan Bersatu.

“Jangan perasan ada sesiapa nak tawarkan pada dia (Hadi),” katanya.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam ada pihak dalam kerajaan menghubunginya hendak berjumpa untuk menawarkan PAS menyertai kerajaan perpaduan.

“Itu (dakwaan PAS ditawar sertai kerajaan) di luar pengetahuan saya,” katanya.

Abdul Hadi berkata PAS ditawarkan menyertai kerajaan perpaduan kerana Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat dukungan pengundi Melayu berbanding parti Islam itu.

Beliau juga berkata pihaknya terbuka untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana pihak asalkan ia tidak bertentangan dengan perjuangan PAS. – 28 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen