Dakwaan ajak PAS sertai kerajaan di luar pengetahuan, kata Zahid


Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata tiada siapa pun yang ingin membuat tawaran untuk mengajak parti PAS menyertai Kerajaan Perpaduan setakat dalam pengetahuannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2023.

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak tahu mengenai dakwaan terdapat individu daripada Kerajaan Perpaduan mengajak parti PAS untuk menyertai kerajaan itu. 

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri berkata tiada siapa pun yang ingin membuat tawaran berkenaan setakat dalam pengetahuannya.

“Di luar pengetahuan saya. Saya rasa eloklah mereka (PAS) berkawan terus dengan Bersatu, jangan perasan ada siapa nak tawarkan dia (masuk Kerajaan Perpaduan),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 Negeri Perak di Hutan Melintang di Bagan Datuk hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan laporan media semalam berhubung dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa beberapa individu menghubungi beliau mengajak mengadakan pertemuan untuk menawarkan PAS supaya menyertai Kerajaan Perpaduan.

Abdul Hadi dilaporkan berkata ketika ini pihaknya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi tawaran berkenaan perlu tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju PAS. – Bernama, 28 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen