RAKYAT Turkiye mengundi pada Ahad dalam pusingan pilihan raya presiden yang penting untuk memutuskan sama ada Recep Tayyip Erdogan akan terus berkuasa selepas 20 tahun atau sebaliknya.
Pencabarnya Kemal Kilicdaroglu, yang disokong oleh pakatan pembangkang menagih undian dengan referendum mengenai hala tuju masa depan Turkiye.
Erdogan pula menjanjikan era baharu yang menyatukan negara.
Tetapi isu yang lebih mendesak ialah inflasi dan krisis kos sara hidup.
Pusat mengundi dibuka pada 08:00 (05:00 GMT) dan ditutup pada 17:00 (14:00 GMT). Undian besar daripada ekspatriat, yang dijalankan di seluruh dunia, sudah pun selesai.
Jumlah keluar mengundi pada pusingan pertama adalah 88.8% dengan Erdogan mendahului sebanyak 2.5 juta undi. Justeru, kedua-dua calon mengintai 8 juta yang tidak mengundi - tetapi diharapkan keluar mengundi kali ini.
Menjelang pusingan kedua, Kilicdaroglu mendakwa pesaingnya melakukan penipuan, dengan menyekat mesej teksnya kepada pengundi manakala mesej presiden sebaliknya.
Parti pembangkang mengerahkan tentera sukarelawan dalam usaha untuk memastikan tiada penipuan undi berlaku.
Kilicdaroglu menjanjikan gaya presiden yang sangat berbeza pada hari terakhir kempennya: “Saya tidak berminat untuk tinggal di istana. Saya akan hidup seperti kamu, secara sederhana… dan selesaikan masalah kamu.”
Ia adalah sindiran berhubung kompleks istana besar Erdogan di pinggir Ankara yang didiaminya semasa dilantik menjadi presiden pada 2014.
Selepas terselamat daripada rampasan kuasa yang gagal pada 2016 beliau mengambil alih kuasa, bertindak menahan puluhan ribu orang dan mengawal media.
Maka ia adalah satu simbolik apabila beliau mengadakan lawatan kempen pada Sabtu ke makam seorang perdana menteri yang dihukum mati oleh tentera selepas rampasan kuasa pada 1960.
“Era rampasan kuasa dan junta sudah berakhir,” isytiharnya, mengaitkan kestabilan semasa Turkiye dengan pemerintahan autoritariannya sendiri.
Bagaimanapun Turkiye, sangat terpolarisasi, dengan presiden bergantung pada asas sokongan konservatif agama dan nasionalis, manakala penyokong lawannya kebanyakannya sekular - tetapi ramai daripada mereka juga nasionalis.
Berhari-hari kedua-dua calon saling berbalah mulut.
Kilicdaroglu menuduh presiden pengecut dan bersembunyi daripada pilihan raya yang adil; Erdogan berkata pesaingnya berada di pihak “pengganas”, merujuk kepada militan Kurdish.
Namun, selepas berhari-hari menyentuh isu penghantaran jutaan pelarian Syria pulang, calon pembangkang kembali kepada isu nombor satu Turkiye - krisis ekonomi, dan khususnya kesannya terhadap isi rumah yang lebih miskin. – Agensi, 28 Mei, 2023.
Komen