BEKAS menteri sumber manusia M Kulasegaran mempersoalkan beberapa lantikan politik dibuat menteri sekarang, V Sivakumar, termasuk seorang pegawai yang diketahui mempunyai salah laku.
Tambahnya, pilihan Sivakumar berkaitan beberapa pilihan “mungkin bukan yang terbaik dibuat menteri itu”.
“Mungkin dia terlepas pandang memeriksa latar belakang mereka sewajarnya sebelum pelantikan. Apabila seorang menteri melantik pembantu, mereka menjadi pegawai paling rapat dengannya.
“Mereka adalah pegawai yang dipercayai dalam hubungan kerja itu. Mereka adalah mata dan telinga boleh dipercayai menteri kerana banyak perkara bergantung kepada mereka,” kata Kulasegaran dipetik berkata dalam satu wawancara bersama portal akhbar The Vibes.
Kulasegaran dan Sivakumar adalah wakil rakyat daripada DAP, dengan Kulasegaran menjadi menteri sumber manusia dalam penggal pertama pentadbiran Pakatan Harapan pada 2019 dan Sivakumar menjawat jawatan itu dalam Kerajaan Perpaduan sekarang.
Kementerian Sumber Manusia sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan isu pengambilan pekerja asing.
Tiga pegawai Sivakumar telah ditahan untuk soal siasat berkaitan isu itu dengan beliau sendiri berdepan siasatan SPRM.
Dalam usaha pembersihan kementerian, sekurang-kurangnya lima pegawai Sivakumar dipecat awal bulan ini.
Kulasegaran terutamanya mempunyai masalah dengan pelantikan seorang pegawai tersebut yang menurutnya mempunyai reputasi buruk.
Individu itu juga antara yang ditahan SPRM dan sudah dipecat.
Kulasegaran berkata individu tersebut pernah bekerja dengannya tetapi dipecat daripada tugas 15 tahun lepas.
Katanya lagi, Sivakumar mengetahui sebab mengapa individu itu dipecat.
“Jadi apabila saya jumpa dia saya tanya, kenapa ambil pegawai yang dipecat? Proses membuat keputusan (dalam pelantikan ini) salah.
“Dia (Sivakumar) ambil risiko besar. Saya terpaksa singkir individu itu kerana dia terlibat dalam pelbagai salah laku dan ia dibuat serta merta pada 2008,” kata ahli Parlimen Ipoh Barat itu lai.
“Saya terkejut yang pegawai itu dalam kerajaan, tetapi sekarang mereka (pegawai) sudah dilucutkan tugas. Bila Sivakumar melantik pegawai tersebut, dia tak pernah bincang dengan saya. Tetapi menteri ada hak sendiri jadi saya tak boleh masuk campur,” katanya lagi. – 28 Mei, 2023.
Komen