Wakil rakyat Republikan pecat peguam negeri Texas kerana korupsi


Wakil rakyat Texas mengundi untuk memecat Peguam Negeri Ken Paxton atas pertuduhan korupsi, yang pertama berlaku sejak 1975. – Gambar AFP, 28 Mei, 2023.

WAKIL rakyat Republikan Texas pada Sabtu dalam undi terbanyak memecat sementara peguam negeri atas pertuduhan korupsi, menggantung tugasnya sehingga berdepan perbicaraan di Senat.

Pemecatan sementara Peguam Negeri Ken Paxton menandakan kejatuhan antara penyokong utama bekas presiden Donald Trump dengan kesan kepada politik nasional.

Selepas debat yang berlaku sepanjang tengah hari, 121 wakil rakyat mengundi untuk memecat Paxton dengan 23 menentang dan dua lagi tidak mengundi.

“Bukti kukuh. Ia membimbangkan dan menakutkan,” kata wakil rakyat Republikan Andrew Murr.

Paxton tidak mahu menyerah kalah walaupun menerima banyak undi untuk menyingkirkannya.

“Apa yang kita saksikan adalah tidak sah, tidak beretika dan sangat tidak adil,” kata Paxton di Twitter.

Trump pula menerusi platfrom Truth Social berkata mereka yang memecat Paxton adalah “demokrat radikal berhaluan kiri” dan “RINOs”- Republikan hanya atas nama.

20 usul pertuduhan terhadap Paxton berkaitan dengan korupsi, salah guna dana awam, tidak layak untuk mentadbir dan menghalang proses keadilan.

Pertuduhan mendakwa Paxton memberi tekanan kepada kakitangannya untuk melindungi kawan dan penderma daripada pendakwaan.

Sebagai balasan, penderma menawarkan pekerjaan kepada seorang wanita yang mempunyai hubungan sulit dengan seorang wakil rakyat Republikan dan membiayai kerja ubah suai rumah, menurut dokumen dikeluarkan.

Tidak dapat dipastikan bila Senat yang diterajui Republikan akan membicarakan Paxton. Pemecatan tetapnya memerlukan sekurang-kurangnya dua pertiga undi Senat.

Walaupun masa depan belum jelas, Paxton, 60, menyaksikan sokongan terhadapnya berkurang mendadak dalam kalangan wakil rakyat Republikan, termasuk Gabenor Greg Abbott yang enggan menyokong peguam negeri ultra konservetif itu dalam proses pengundian yang dilakukan.

Abbott yang juga penyokong Trump kini perlu melantik peguam negeri sementara menggantikan Paxton.

Dipilih pada 2014 untuk menerajui badan kehakiman Texas, Paxton didakwa berkaitan penipuan kewangan pada 2015, perbicaraan masih belum bermula. Ini tidak menghalangnya daripada dipilih sekali lagi pada 2018 dan 2022.

Pada 2020, ahli pasukannya memberi amaran tentang salah guna kuasa dilakukannya dan mereka dipecat. Kakitangan ini kemudiannya memfailkan saman pemecatan tidak adil.

Awal tahun ini, Paxton mencapai perjanjian untuk menamatkan saman itu dengan bayaran AS$3.3 juta.

Dia meminta Texas untuk membayar saman itu, mencetuskan siasatan jawatankuasa kongres dan undi penyingkirkan yang menyaksikan dia tersingkir dari kuasa.

Paxton adalah antara tiga pegawai kanan yang dipecat dalam sejarah Texas, yang pertama sejak 1975. – AFP, 28 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen