PIHAK berkuasa Pakistan menyerahkan 33 orang awam kepada tentera untuk dibicarakan di mahkamah tentera kerana didakwa terlibat dalam protes ganas pada 9 Mei, lapor Anadolu.
Bercakap kepada pemberita di ibu negara Islamabad, Menteri Dalam Negeri, Rana Sanaullah, berkata setakat ini,sebanyak 499 laporan maklumat pertama (FIR) didaftarkan di seluruh negara selain beribu-ribu lagi ditahan.
“Setakat ini, 499 FIR didaftarkan di seluruh negara dan hanya 88 di bawah akta anti-Keganasan (ATA),” kata Sanaullah.
Beliau berkata seramai 3,946 orang ditahan di bawah ATA, manakala 5,536 di bawah undang-undang lain.
Bekas perdana menteri Imran Khan sebelum ini berkata lebih 10,000 pekerja dan penyokong partinya ditahan oleh kerajaan di seluruh negara.
Bagaimanapun, Sanaullah mendakwa hampir 4,000 berada dalam tahanan kerajaan, manakala 80% daripada 5,536 yang ditahan di bawah undang-undang lain dibebaskan dengan jaminan.
Beliau juga mengesahkan setakat ini, 19 orang di wilayah Punjab dan 14 dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa diserahkan kepada tentera untuk dibicarakan di mahkamah tentera.
Beliau membuat kenyataan itu selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi global lain menyatakan kebimbangan terhadap perbicaraan pekerja awam dan politik di mahkamah tentera.
Mengenai larangan ke atas parti Khan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), Sanaullah berkata setakat ini, tiada keputusan diambil untuk mengharamkan PTI, namun pasukan undang-undang mereka sedang mengusahakannya.
Pada 9 Mei, Khan ditahan oleh Biro Akauntabiliti Kebangsaan negara atas tuduhan rasuah, namun mahkamah tertinggi negara itu mengistiharkannya sebagai tidak sah, mencetuskan bantahan oleh penyokongnya menyerbu kemudahan kerajaan dan tentera.
Sejak itu, beribu-ribu suspek, termasuk pemimpin tertinggi PTI ditahan, dan tentera berkata ia akan membicarakan perusuh di bawah undang-undang tentera. – Bernama, 28 Mei, 2023.
Komen