Tiada sambutan Gawai bagi penghuni rumah panjang Betong


Desmond Davidson

Dua beradik perempuan dan sepupu mereka maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pan-Borneo, berhampiran bandar Engkilili. – Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat, 28 Mei, 2023.

TIDAK akan ada sambutan Hari Gawai tahun ini bagi penghuni di rumah panjang Iban 11 pintu Mandau Lempaong, di bandar luar bandar Betong, kira-kira 140km dari Kuching.

Persediaan mereka untuk menyambut perayaan terbesar dalam kalendar Dayak - perayaan mensyukuri hasil tuaian padi - sebaliknya bertukar menjadi sambutan mengebumikan dua penghuni yang pada petang Khamis maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pan-Borneo.

Dalam adat Iban, apabila seorang penghuni meninggal dunia, seluruh rumah panjang perlu menjalani tempoh berkabung bersama-sama, dan lazimnya ia berlangsung sekurang-kurangnya seminggu.

Sambutan Hari Gawai jatuh pada 1 Jun, tetapi di kebanyakan rumah panjang, jika tidak semua, majlis meriah sudah pun bermula.

Dua beradik Pauline Jua, 34, dan Elizabeth Jua, 33, adalah antara tiga yang maut dalam nahas berhampiran pekan Engkilili, 43km dari Betong. 

Seorang lagi mangsa ialah sepupu mereka yang berusia 22 tahun dan pemandu kereta malang itu, Carlos Nelson.

Pauline, penumpang tempat duduk hadapan, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Elizabeth, yang hampir tidak bernyawa keluar dari kereta, meninggal dunia di klinik kesihatan Engkilili.

Suami Elizabeth berusia 38 tahun, yang cedera parah dalam nahas itu, dilaporkan sedang bertarung nyawa di Hospital Sri Aman.

Tiga lelaki di dalam kereta lain juga cedera parah.

Pauline, Carlos, Elizabeth dan suaminya dilaporkan memulakan perjalanan mereka dari bandar Saratok, 64km dari Betong, dan menuju ke Simanggang apabila Perodua Viva dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Proton Saga berhampiran kuari Maruk di laluan Sri Aman-Engkilili. 

Mereka bekerja di Saratok.

Mereka perlu menjemput Pauline dan ibu Elizabeth serta dua anak Pauline di Simanggang sebelum bertolak pulang ke Betong untuk sambutan Gawai.

Kematian itu merupakan tamparan hebat kepada ibu wanita itu, kata penduduk rumah panjang Linda Malong kepada The Malaysian Insight.

Ibu mereka dilaporkan pengsan apabila diberitahu mengenai tragedi itu.

“Kedua-dua mereka adalah anak perempuan dalam keluarga empat beradik. Sekarang semuanya sudah tiada,” kata Linda.

Dua beradik yang disifatkan Linda sebagai “nakal”, akan dikebumikan hari ini di tanah perkuburan tradisional Iban Betong. – 28 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen