Perikatan guna duit judi pada PRU15, Anwar kata tak akan keluarkan kenyataan tak berasas


Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berkata siasatan berhubung isu itu melibatkan pelbagai agensi, justeru siasatan atau tindakan hanya akan diambil selepas mempunyai bukti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu kemungkinan Perikatan Nasional (PN) menggunakan wang judi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika tidak mempunyai sebarang asas berhubung perkara itu.

Justeru, beliau meminta Pengerusi PN Muhyiddin Yassin membaca kenyataannya dengan lengkap sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.

“Tetapi kalau dia hendak teruskan, silakan. Saya tidak akan keluar kenyataan kalau saya tiada asas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Anwar juga berkata siasatan berhubung isu itu melibatkan pelbagai agensi, justeru siasatan atau tindakan hanya akan diambil selepas mempunyai bukti.

Semalam, dilaporkan bahawa Muhyiddin menuntut Anwar serta Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kerana mendakwa PN menggunakan wang judi pada PRU15 dan akan berbincang dengan peguam berhubung tindakan seterusnya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata jawapan bertulis beliau di Dewan Rakyat pada Isnin mengenai siasatan berhubung dakwaan ada parti komponen PN mendapat sumbangan dana judi semasa kempen pilihan raya umum lepas, tidak menyatakan bahawa siasatan itu sudah dihentikan atau digugurkan.

Jawapan Azalina menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat itu namun mendapati ia terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu tersebut justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka.

Diminta mengulas mengenai desas-desus rombakan Kabinet, Anwar secara berseloroh berkata “ada cadangan, sila tulis kepada saya, saya akan beri pertimbangan.” – Bernama, 27 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen