Logo Malaysia Madani akan jadi logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, kata Fahmi


Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos dan sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak pada 16 September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2023.

LOGO Malaysia Madani juga akan menjadi logo rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, pagi tadi.

Beliau turut melancarkan tema sambutan iaitu “Malaysia Madani, Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.”

“Tahun ini, Malaysia mencapai 66 tahun kemerdekaan, membebaskan kita daripada penjajah dan menyemai kehidupan yang aman rakyat pelbagai kaum dan agama di tanah bertuah ini.

“Kemerdekaan yang dikecapi oleh kita semua memungkinkan kita untuk terus hidup dengan aman dan makmur,” katanya.

Tambahnya lagi, rakyat Malaysia juga perlu menolak “ideologi berfikiran sempit” yang boleh menggugat perpaduan.

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

Fahmi turut mengumumkan yang majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang akan diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada 15 Julai nanti.

Sambutan Hari Kebangsaan pula akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos dan sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak pada 16 September.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperkenalkan Malaysia Madani sebagai kerangka dasar dan slogan Kerajaan Perpaduan, dengan matlamat untuk mewujudkan tadbir urus yang baik, kelestarian pembangunan dan keharmonian kaum di negara ini. – 27 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen