KERAJAAN Negeri Sembilan mengesan satu lagi aktiviti yang disyaki berkaitan perlombongan haram nadir bumi (REE) di kawasan tanah pertanian di Sungai Muntoh, Titi, Jelebu, Khamis lepas.
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata laporan mengenainya pada pukul 5 petang, dan Pejabat Tanah Galian (PTG) kemudiannya menemukan lokasi berkenaan sekitar pukul 10.30 malam pada hari yang sama.
“Ia ditemukan di lot tanah persendirian, dan aktiviti itu masih aktif, namun tiada tangkapan dibuat di lokasi. Saya dimaklumkan lot tanah kerajaan juga terlibat, bagaimanapun keluasan sebenar aktiviti itu masih belum dapat disahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis sambutan Hari Antidadah 2023 peringkat Negeri Sembilan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah hari ini.
Katanya aktiviti itu dijalankan di kawasan pedalaman yang sukar dikesan oleh pihak berkuasa, justeru masyarakat setempat perlu memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib bagi membanteras aktiviti haram berkenaan daripada terus berleluasa.
Aminuddin berkata aktiviti perlombongan REE itu dilihat lebih mudah berbanding aktiviti korek pasir atau kuari kerana melibatkan aktiviti ‘kecil’ namun hasilnya lumayan.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri mengesan satu aktiviti perlombongan haram nadir bumi di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah pada 16 Mei lepas melalui aduan yang diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah.
Susulan penemuan itu siasatan bersepadu oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri dan Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka dengan bantuan pihak polis dijalankan. – Bernama, 27 Mei, 2023.
Komen