Kerajaan digesa tarik balik rayuan kes kerakyatan budak 5 tahun


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Mei lalu mengarahkan ketua pengarah JPN mengeluarkan sijil kelahiran kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun selaras statusnya sebagai warga Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei 2023.

KUMPULAN peguam Lawyers for Liberty (LFL) menggesa kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kelahiran kepada seorang kanak-kanak lelaki lima tahun.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata rayuan tersebut memberi gambaran bahawa kerajaan tidak serius untuk menangani isu kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Beliau berkata tindakan kerajaan memfailkan rayuan itu akan memanjangkan lagi isu, sekali gus menjadikan kanak-kanak malang ini tidak mempunyai kerakyatan seumur hidup. 

“Apakah alasan kerajaan untuk ini? Ujian DNA mengesahkan bapa kandung kanak-kanak itu adalah warganegara Malaysia.

“Apakah objektif yang cuba dicapai oleh kerajaan dengan rayuan ini?” soal Zaid dalam satu kenyataan hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Mei lalu mengarahkan ketua pengarah JPN mengeluarkan sijil kelahiran kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu selaras statusnya sebagai warga Malaysia.

Mengulas lanjut, Zaid berkata mahkamah berhak memutuskan kanak-kanak terbabit adalah warganegara Malaysia mengikut Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan kerana bapanya adalah rakyat negara ini.

Tambahnya, menteri dalam negeri juga mengakui isu kewarganegaraan adalah isu yang serius, malah pada Januari mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah tanpa kerakyatan di Malaysia.

“Sebaliknya kerajaan pimpinan Pakatan Harapan yang berulang kali berikrar untuk melindungi hak asasi manusia bertekad untuk menghalang kanak-kanak ini mendapat hak kerakyatan. 

“Tanpa status kerakyatan masa depan kanak-kanak ini suram dan gelap,” katanya. – 27 Mei 2023. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen