Kerajaan pertimbang tindakan terhadap Telegram, kata menteri


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pihak pengurusan Telegram telah dipanggil sejak Januari lalu, namun sehingga kini gagal memberikan respons. – Gambar EPA, 27 Mei 2023.

PENYEDIA aplikasi Telegram enggan memberi kerjasama dengan kerajaan berhubung kandungan yang dimuat naik menerusi platform media sosial itu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kandungan yang membimbangkan di platform Telegram, selain penipuan dalam talian.

Pihak pengurusan Telegram sudah dipanggil sejak Januari lalu, namun sehingga kini gagal memberikan respons, katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) telah diarahkan untuk mempertimbangkan tindakan selanjutnya terhadap platform tersebut.

“Kita lihat ini akan jadi isu maka saya telah minta SKMM meneliti apakah tindakan yang wajar untuk diambil kerana aduan yang kita terima banyak, kita tidak lihat ada kesungguhan di pihak telegram untuk memberikan kerjasama,” katanya seperti dipetik MalaysiaGazette selepas melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Fahmi seterusnya berkata pihaknya juga menerima aduan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung penjualan point untuk doktor menerusi platform Telegram.

“Penjualan point ini berlaku bila mana doktor-doktor yang setiap tahun yang setiap tahun perlu ikuti persidangan, seminar, kursus-kursus bagi kemajuan kerjaya mereka.

“Tetapi didapati ada pihak yang cuba menjual point begitu, jadi kita lihat bukan hanya dalam isu seperti ini tapi saya difahamkan perkara-perkara yang tidak diingini seperti jualan dadah, sebaran pornografi dan scam (penipuan dalam talian),” katanya. – 27 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen