JABATAN Polis New York pada Jumaat berjaya menahan suspek yang merosakkan bangunan Turkish House atau dikenali sebagai Turkevi Centre di New York City awal minggu ini.
Recep Akbiyik, 29, didakwa dengan tujuh pertuduhan, termasuk merompak, membuat ugutan pengganas, khianat jenayah, mengancam dan memiliki senjata secara haram.
Suspek ditahan pada 10.15 pagi waktu tempatan dan dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan polis.
Pada Rabu, pihak berkuasa mengenal pasti Akbiyik sebagai suspek utama dalam serangan awal Isnin.
Rakaman video yang diperoleh Anadolu memaparkan seorang penyerang memecahkan tingkap bangunan pada pukul 3.14 pagi menggunakan tuil.
Pusat ini menempatkan pejabat diplomatik, termasuk Misi PBB Türkiye dan Konsulat Jeneral New York.
Pihak berkuasa Turkiye mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan menggesa rakan sejawat mereka untuk memberi perlindungan yang sewajarnya untuk memastikan keselamatan misi diplomatiknya.
Siasatan terhadap suspek masih diteruskan, menurut sumber. – Bernama, 27 Mei 2023.
Komen