PENYANYI kumpulan Pink Floyd, Roger Waters disiasat kerana berpakaian seragam ala Nazi dalam konsert di Berlin.
Pihak berkuasa di Jerman yang bertanggungjawab memerangi gerakan anti-Semitisme menggesa Waters bertanggungjawab atas tindakan yang dianggap tidak sensitif itu.
Felix Klein yang memberitahu kumpulan media Funke berkata prosiding undang-undang sebelum ini memihak kepada Waters walaupun penyanyi itu menyebarkan anti-Semitisme selain didakwa menimbulkan kebencian.
Polis Berlin semalam mengesahkan Waters sedang disiasat selepas imej vokalis itu tersebar di media sosial yang menunjukkan dia memakai kod panjang hitam dengan lilitan lengan merah di atas pentas di Arena Mercedes-Benz minggu lalu.
Jurucakap polis memberitahu penguat kuasa undang-undang sedang menyiasat dakwaan hasutan kebencian terhadap orang ramai kerana berpakaian yang menonjolkan kemuliaan atau mewajarkan pemerintahan Nazi.
Sehubungan itu, Klein menggesa pihak berkuasa mengambil langkah berhati-hati susulan insiden berkenaan.
Waters adalah aktivis pro-Palestin yang terkenal kerana berpandangan anti-Yahudi.
Penglibatan Waters dalam konsert di Berlin termasuk beberapa bandar sekitar Jerman adalah sebahagian daripada jelajah “This Is Not A Drill”.
Kontroversi timbul apabila beberapa pihak berkuasa bandar cuba melarangnya daripada membuat persembahan tetapi tidak berjaya.
Penyanyi lagu “Another Brick In The Wall” itu menafikan tuduhan anti-Semitisme dengan mengatakan dia cuma memprotes dasar Israel dan bukan Yahudi.
Dalam konsertnya di Berlin, Water turut memaparkan nama beberapa mangsa kekejaman yang maut di kem tahanan Nazi termasuk Anne Frank, seorang remaja Yahudi.
Konsert sama turut memaparkan nama wartawan Palestin-Amerika yang dibunuh iaitu Shireen Abu Akleh, yang mencetuskan kritikan dan dakwaan Waters sedang merelativiskan tragedi holocaust.
Pihak berkuasa bandar Frankfurt berusaha menghentikan konsert itu, namun mahkamah memutuskan kumpulan muzik itu boleh meneruskan kerana kebebasan artistik. – AFP, 27 Mei, 2023.
Komen