Serangan arca Degas, 2 aktivis iklim ditahan


DUA akitivis iklim ditahan semalam dalam kes berhubung serangan terhadap arca artis Perancis Edgar Degas di Galeri Seni Negara, kata pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Timothy Martin, 53, menyerah diri kepada pihak berkuasa di North Carolina sementara Joanna Smith, 52, menyerah diri di Washington.

Mereka didakwa bersubahat melakukan kesalahan terhadap AS dan mencederakan bahan pameran Galeri Negara, kata peguam negara.

Mereka didakwa melempar cat di arca Degas yang dinamakan “Little Dancer, Age Fourteen” yang dipamerkan di Galeri Seni Negara di Washington.

Serangan pada April itu didakwa dilakukan kumpulan “Declare Emergency”, di mana peguam negara berkata sekatan jalan raya turut dilakukan di kawasan Washington.

Peguam berkata serangan itu menyebabkan kerugian AS$2,400 dan arca itu terpaksa dikeluarkan daripada pameran umum selama 10 hari.

Martin dan Smith berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda maksimum AS$250,000.

Aktivis alam sekitar, terutama di Eropah, melakukan siri serangan terhadap karya seni sejak akhir-akhir ini dengan harapan untuk mencetuskan kesedaran awam tentang pemanasan global. – AFP, 27 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen