MCA, MIC hampir ‘pupus’, kata penganalisis


Ravin Palanisamy

Parti komponen BN, MCA dan MIC yang dipimpin Wee Ka Siong dan S.A. Vigneswaran berdepan dengan sokongan yang semakin berkurangan, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2023.

PARTI komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC yang pernah menjadi parti dominan kini bakal “pupus” dalam lanskap politik semasa apabila Umno mendakwa kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH) mungkin hingga pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata pakar.

Memetik pencapaian mereka pada PRU lalu, penganalisis politik berkata sokongan untuk MCA dan MIC semakin menurun dan mereka menjadi semakin “tidak relevan”.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata kaum Cina dan India pun tidak lagi memberikan sokongan kepada dua parti itu.

“MCA dan MIC bergelut untuk terus kekal relevan.

“Secara tradisinya, mereka bergantung kepada undi daripada kumpulan kaum mereka, tetapi sejak era Reformasi, sokongan terhadap mereka semakin berkurangan. Masyarakat Cina tidak melihat MCA sebagai memperjuangkan kepentingan mereka, sama juga seperti kaum India melihat MIC.

“Peranan mereka sudah diambil alih oleh DAP,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tunku Mohar berkata MCA dan MIC mungkin masih relevan dalam pakatan antara kaum dalam BN.

“Tetapi lebih daripada itu, mereka tidak memberikan kerusi kepada gabungan itu dalam PRU,” katanya.

Tunku Mohar berkata untuk MCA dan MIC berkembang, mereka perlu menunjukkan imej BN seperti dilakukan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, masalahnya ialah imej BN sudah tercemar dengan kes rasuah dalam kalangan pemimpinnya.

Pada konvensyen kerajaan perpaduan diadakan baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata kerajaan perpaduan mungkin terus relevan dan berkuasa selepas PRU akan datang jika semua parti terbabit komited untuk bekerjasama.

Mereka berkata jika model kerjasama semasa boleh diteruskan dan diperkukuhkan, ia akan mencipta masa depan baharu untuk politik negara.

Bagaimanapun, keadaan itu mewujudkan keraguan untuk masa depan politik MCA dan MIC yang kurang popular.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar senada dengan Tunku Mohar, berkata MCA dan MIC sudah lama tidak relevan dan hilang dominan dalam arena politik.

Hisommudin berkata sukar untuk BN dan PH mencapai persetujuan berhubung agihan kerusi untuk MCA dan MIC pada pilihan raya negeri dan persekutuan.

“Kedudukan parti komponen MCA dan MIC makin mengecil dalam lanskap politik semasa kerana ia bergantung kepada bahagiannya yang diperoleh daripada BN sebagai rundingan kerusi secara keseluruhan dengan PH.

“Cabarannya ialah kerusi dengan komposisi bukan Melayu, dua parti komponen BN itu sudah lama hilang sokongan.

“Kuasa tawar-menawar BN untuk dapatkan kerusi milik PH di kawasan ini adalah sukar kecuali kerusi penyandang,” katanya.

Kalau agihan kerusi mengikut penyandang sekalipun, Hisommudin berkata ia akan lebih berpihak kepada parti dalam PH, bukannya MCA dan MIC.

“Sukar untuk BN runding perkara itu kerana dasar penyandang dalam formula agihan undi beri PH kelebihan di kerusi yang secara tradisinya milik MIC dan MCA,” katanya. – 27 Mei, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen