BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menerima anugerah pencapaian sepanjang hayat bagi Anugerah Maritim dan Aerorangkasa Global IBR 2023.
Anugerah itu diberikan untuk menghargai individu yang berdedikasi dalam mempromosikan industri aeroangkasa dan maritim serta membantu sektor itu ke tahap lebih tinggi sekali gus memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Ia dianugerahkan buat julung kalinya sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ‘23).
Dr Mahathir ketika ditemui pemberita selepas majlis di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Langkawi, Kedah malam ini berkata, anugerah itu satu galakan kepada semua pemain industri aeroangkasa dan maritim untuk melakukan yang lebih baik dalam mempromosikan industri.
Ditanya mengenai LIMA ‘23 yang bermula Selasa lalu dan akan berakhir esok, beliau berkata penganjuran kali ini baik dan lebih banyak pihak menyertai pameran pada edisi ke-16 itu.
LIMA yang diadakan sejak 1991 adalah cetusan idea bekas perdana menteri itu.
“Saya percaya LIMA akan kekal dan harap kerajaan Malaysia meneruskan penganjuran acara dwitahunan ini,” katanya.
Dr Mahathir juga berkata industri aeroangkasa serta maritim berkembang baik dan penganjuran LIMA dapat memberi peluang kepada pempamer untuk mempromosikan produk mereka.
Beliau melihat penganjuran LIMA turut membantu sektor pelancongan dengan kemasukan delegasi asing ke negara ini. – Bernama, 26 Mei, 2023.
Komen