Faktor luaran sebabkan kejatuhan ringgit, kata Bank Negara


Bank Negara berkata, prestasi lemah semasa Ringgit disebabkan oleh perkembangan luaran dalam pasaran kewangan global. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2023.

PRESTASI lemah semasa Ringgit adalah disebabkan oleh perkembangan luaran dalam pasaran kewangan global, termasuk kebuntuan siling hutang Amerika Syarikat (AS) dan episod tekanan dalam sektor perbankan AS dan Eropah, kata Bank Negara Malaysia hari ini.

“Dalam persekitaran semasa, perkembangan luaran memberikan kesan yang lebih besar terhadap prestasi ringgit.

“Sehubungan dengan hal ini, prestasi ringgit berbanding dengan dolar AS, atau mana-mana mata wang lain, tidak mencerminkan kedudukan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.

Menurutnya, perkembangan luaran yang berterusan membawa kepada peningkatan dalam permintaan untuk aset selamat seperti dolar AS dan aliran keluar daripada kebanyakan ekonomi pasaran sedang pesat membangun apabila pelabur berusaha untuk melindungi pelaburan mereka.

“Berlatarkan keadaan ini, dolar AS mengukuh berbanding dengan kebanyakan mata wang.

“Kesannya, ringgit menghadapi tekanan penurunan nilai yang ketara, sama seperti kebanyakan mata wang,” katanya.

Bank Negara juga berkata kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini tidak terhad kepada Malaysia sahaja.

“Prestasi ringgit secara keseluruhan perlu diberikan pertimbangan bukan sahaja berbanding dengan dolar AS, tetapi juga dengan mata wang negara rakan perdagangan utama Malaysia.

“Pergerakan ringgit berbanding dengan rakan dagangan utama negara, seperti yang diukur oleh kadar pertukaran efektif nominal (NEER), secara relatif adalah lebih perlahan,” katanya.

Bank pusat itu juga berkata pergerakan dalam ringgit akan terus ditentukan pasaran dan ia akan terus menguruskan risiko yang timbul daripada peningkatan turun naik pasaran kewangan.

“Bagi tujuan ini, operasi pasaran Bank Negara akan memastikan pasaran kewangan mempunyai mudah tunai yang mencukupi serta berfungsi secara teratur.

“Prestasi ringgit dijangka bertambah baik apabila ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pasaran global menjadi reda. Hal ini seterusnya akan mencerminkan kekukuhan asas ekonomi Malaysia dengan lebih baik.”

Bank Negara seterusnya berkata ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang dalam julat 4.0%–5.0% pada 2023, disokong oleh permintaan dalam negeri, pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan merealisasikan pelaburan bertahun-tahun dan projek modal yang diluluskan.

Ringgit menembusi paras 4.60 berbanding dolar baru-baru ini, mencecah paras rendah 4.6265 pada Khamis. Ringgit melantun sedikit kepada 4.6003 hari ini. Setakat ini tahun ini, mata wang tempatan menyusut 4.8% berbanding dolar AS. – 26 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen