Tolak calon anti pendatang, kata presiden Mexico


Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador menggesa masyarakat Hispanik di AS tidak mengundi calon anti pendatang. – Gambar fail EPA, 26 Mei, 2023.

PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada Jumaat menggesa masyarakat Hispanik di Amerika Syarikat (AS) supaya tidak mengundi calon anti pendatang seperti gabenor Florida Ron DeSantis, lapor agensi berita Xinhua.

“Jangan mengundi mereka yang menganiaya pendatang atau tidak menghormati mereka kerana pendatang…,” kata Obrador semasa sidang akhbar hariannya.

Pada Khamis, DeSantis mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden sebagai calon Parti Republikan dalam pemilihan presiden AS pada November 2024.

DeSantis mengetengahkan isu seperti imigresen dan pengedaran dadah untuk meraih sokongan dalam kalangan konservatif AS dan menyalahkan pendatang hanyalah satu helah pilihan raya, kata Obrador.

“Tanya sendiri DeSantis kerana mereka ini sangat hipokrit dan beliau mungkin menggaji pendatang bekerja dengannya,” kata Obrador.

Kerajaan AS menyalahkan Mexico atas krisis fentanyl di AS, dengan mendakwa pendatang membantu menyeludup dadah terlarang.

Kerajaan Mexico sebaliknya menuduh AS gagal memgambil langkah yang secukupnya untuk memerangi penyalahgunaan dadah, terutama dalam kalangan belia. – Bernama, 26 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen